Jemaah lengkap vaksinasi boleh solat di masjid, surau mulai 10 Ogos - Muhyiddin

Astro Awani
Ogos 8, 2021 17:33 MYT
Kerajaan bersetuju membenarkan jemaah di semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah menerima vaksinasi lengkap dua dos kembali menunaikan solat di masjid dan surau bermula 10 Ogos ini. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan jemaah di semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah menerima vaksinasi lengkap dua dos kembali menunaikan solat di masjid dan surau.
Bagaimanapun, pengurusan masjid dan surau, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memastikan setiap jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mengingatkan, kesemua jemaah haruslah terus pulang sebaik selesai mengerjakan solat.
Menurut Muhyiddin, setiap jemaah juga mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang membuktikan bahawa mereka sudah menerima vaksinasi lengkap kepada petugas masjid atau surau.
“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.
“Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi Rumah Ibadat Selain Islam,” kata Muhyiddin dalam Pengumuman Khas berhubung kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap pada Ahad.
Kemudahan ini, jelas Perdana Menteri akan mula berkuatkuasa pada 10 Ogos ini (Selasa).
Dalam Pengumuman Khas itu, Muhyiddin turut menjelaskan, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
1) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan
2) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.
#jemaah #solat #masjid #surau #jemaah lengkap vaksinasi #boleh solat di masjid dan surau #mulai 10 Ogos #Pelan Pemulihan Negara #Perdana Menteri
;