Jemaah ke-10 meninggal dunia ekoran masalah penghadaman

Razak Chik
Oktober 16, 2013 09:14 MYT
Jemaah lelaki Zolkisfali bin Wahab, 57 tahun, dari Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah menjadi jemaah kesepuluh yang meninggal dunia di tanah suci.
Allahyarham mengembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Aziziah pada jam 6:50 petang waktu tempatan ekoran masalah sistem penghadaman.
Sehingga kini, 6 jemaah lelaki dan 4 jemaah wanita telah meninggal dunia di tanah suci pada musim haji ini.
Dalam satu lagi perkembangan di Mekah, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum telah meluangkan masa untuk melawat pesakit di kalangan jemaah Malaysia yang berada di Pusat Rawatan Syisya di Kota Mekah sempena sambutan hari raya Aidiladha.
Beliau memuji usaha yang dibuat pihak perubatan Tabung Haji untuk membawa pesakit di kalangan jemaah Malaysia berwukuf pada 9 Zulhijjah untuk memenuhi rukun haji.
Kesemua 74 pesakit dari Pusat Rawatan Malaysia di Aziziah dan Syisya serta dua pesakit dari Hospital Arab Saudi telah dibawa berwukuf di Arafah dengan bantuan pasukan perubatan.
Jamil turut melahirkan rasa syukur terhadap pengurangan jumlah jemaah haji yang bertumpu di tanah suci tahun kerana ia telah sekaligus melicinkan pergerakkan jemaah haji Malaysia yang telah diatur oleh Tabung Haji.
Ia dapat dilihat dari pergerakan bas yang licin dan teratur membawa jemaah di antara Mekah dan Arafah, terus ke Mudzalifah dan kemudian ke Mina semasa pergerakkan di Masya’er bermula 8 Zulhijjah.
Jamil juga memuji kecekapan pihak Muassasah yang bekerjasama penuh dengah Tabung Haji untuk melicinkan perjalanan.
#Aidiladha #Jabatan Perdana Menteri #Jamil Khir Baharum #jemaah #Mekah #Pusat Rawatan Aziziah #Tabung Haji #Zulhijjah
;