Jemaah haji terkandas: TH tidak terima laporan rasmi setakat ini
Bernama
Mei 14, 2024 22:13 MYT
Mei 14, 2024 22:13 MYT
PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini tidak menerima laporan rasmi berhubung kejadian rakyat Malaysia terkandas di Makkah dan Madinah akibat terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong.
Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar meminta mereka yang merasakan diri diperdaya untuk membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk siasatan lanjut.
"Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan TH," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Beliau turut menasihati mana-mana pihak yang berada di Tanah Suci untuk pulang ke tanah air sekiranya tidak mempunyai visa haji yang sah.
Sebelum ini TH telah diarah untuk menyiasat kejadian 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah selepas terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA