Jemaah haji terkandas: Lima individu direman tiga hari - Polis
Astro Awani
Julai 18, 2022 15:03 MYT
Julai 18, 2022 15:03 MYT
JOHOR BAHRU: Lima individu yang dipercayai terbabit dengan insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA, 7 Julai lalu, direman selama tiga hari di Johor, mulai hari ini.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas permohonan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini pada isnin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, lima individu itu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji yang menggemparkan negara, sebelum Aidiladha lalu.
Jelasnya, setakat ini polis Johor sudah menerima empat laporan membabitkan bakal jemaah haji yang terpedaya dengan tawaran visa furada sebuah agensi pelancongan.
Menurut Kamarul Zaman lagi, siasatan secara terperinci akan dilaksanakan sebelum sebarang maklumat boleh dikongsi.
Pada 9 Julai lalu, polis dilaporkan menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan, yang dipercayai terbabit kes 380 individu ditawarkan pakej haji dan terkandas di KLIA.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, dilaporkan berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara.
Mereka yang ditahan terdiri pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.
Pada 10 Julai lalu, lima individu terbabit juga direman selama tiga hari, di Selangor.
Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 72 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan insiden 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.
Ketua Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kesemua laporan polis itu membabitkan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan dengan kerugian keseluruhan mencecah RM3.95 juta.