Jemaah haji Sabah dinasihat ikut panduan kesihatan di Tanah Suci - Juhar

Bernama
Jun 13, 2022 07:31 MYT
Tun Juhar ketika meraikan 333 orang jemaah haji dari Sabah yang akan berangkat ke Tanah Suci di sebuah hotel di Kota Kinabalu semalam. -- fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menasihati jemaah haji negeri ini supaya sentiasa mengikuti panduan kesihatan dan amalan pemakanan disarankan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Mekah.
Beliau turut mengingatkan agar para jemaah haji mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19, di samping sentiasa mengambil berat tentang kesihatan dan menjaga kebersihan diri agar mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
"Saya mendoakan perjalanan semua jemaah haji dari Sabah ke Tanah Suci pada tahun ini diberikan keselamatan dan dipermudahkan.
"Semoga para jemaah haji dapat mengerjakan ibadat dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur," katanya ketika berucap pada majlis meraikan keberangkatan kumpulan pertama jemaah haji Sabah bagi musim ini, petang semalam.
Turut hadir isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.
Juhar juga meminta agar jemaah haji Sabah sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara serta hubungan baik antara Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.
"Selain mendoakan kesejahteraan diri dan keluarga, saya meminta semua jemaah haji untuk turut mendoakan kesejahteraan dan keamanan negeri Sabah dan Malaysia," katanya.
Haji 2022 | Jemaah haji Sabah berangkat ke Tanah Suci
Sementara itu, Juhar berkata mengambil iktibar daripada pelaksanaan haji, umat Islam khususnya di Sabah diharap dapat terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang berbezaan yang boleh memecahbelahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa.
"Perhimpunan terbesar ini mengajar umat Islam untuk bersabar, bertoleransi dan berkasih sayang tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya," katanya.
Sebanyak 142 jemaah haji dari Sabah berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi sebelum meneruskan penerbangan ke Tanah Suci.
-- BERNAMA
#jemaah haji Sabah #Juhar Mahiruddin #panduan kesihatan #SOP
;