Jemaah haji jangan leka dengan gajet semasa di Tanah Suci
Bernama
Julai 14, 2018 13:28 MYT
Julai 14, 2018 13:28 MYT
Jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu leka dengan telefon bimbit mereka atau gajet-gajet seumpamanya semasa berada di Tanah Suci kerana dikhuatiri akan 'mencacatkan' kualiti ibadah haji mereka.
Pembimbing Ibadat Haji bagi 1439H Ramli Ibrahim menegaskan ibadat haji adalah ibadat yang penghujung dan penggenap kepada Rukun Islam itu dan ia sepatutnya dilakukan dengan sebaik mungkin dan penuh khusyuk.
"Sifat yang digambarkan oleh Allah bagi mereka yang berjaya seperti mana yang dinukilkan di dalam al-Quran, Allah berfirman sesungguhnya orang beriman yang beroleh kejayaan itu adalah orang yang khusyuk pada solatnya, boleh kita kaitkan dengan ibadat (yang akan dilakukan nanti).
"Dalam masa yang sama, Allah mengingatkan supaya tidak terjebak di dalam perkara-perkara yang melalaikan," katanya kepada media selepas majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat oleh kakitangan Tabung Haji Madinah sebagai persiapan untuk menjalankan tugas di sini hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan para jemaah untuk tidak mencampur-adukkan ibadat haji dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan tumpuan mereka kepada ibadat itu sendiri.
Katanya jemaah harus mengelak penggunaan gajet yang melampau seperti semasa melakukan tawaf atau ibadat-ibadat yang lain untuk memberi kualiti kepada ibadat itu sendiri, seperti yang sepatutnya mereka peroleh dan seterusnya mendapat haji yang mabrur.
Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan (Kebajikan) Jemaah Haji Malaysia 1439H Nurinanuwar Shamsuddin berkata majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat ini sudah menjadi tradisi petugas Tabung Haji Madinah setiap tahun sebelum memulakan operasi haji.
"Pada malam ini, hampir 150 petugas Tabung Haji Madinah yang telah hadir ke Pejabat Tabung Haji di sini untuk kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah memohon pertolongan untuk kejayaan operasi haji bagi tahun 1439H.
"Kita mengharapkan semoga para jemaah haji dan juga petugas-petugas haji dapat menunaikan haji dalam keadaan yang selamat dan aman. Dengan adanya doa daripada kita di sini dan ahli keluarga jemaah di tanah air, Insya-Allah, kita semua dapat menunaikan haji dengan selamat dan pulang ke tanah air," katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Madinah dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada 10 pagi waktu tempatan.
Berikutan urusan prapelepasan untuk jemaah haji Malaysia yang telah dilakukan di Kuala Lumpur bagi tahun ini, beliau menjangkakan jemaah akan tiba ke bangunan penginapan dalam masa yang lebih singkat berbanding tahun sebelumnya.
Semasa di Madinah, beliau turut menasihati agar jemaah tidak berada di luar dalam tempoh yang lama di samping banyak meminum air berikutan keadaan cuaca yang agak panas.
-- BERNAMA
#air
#cuaca panas
#gajet
#Haji
#jemaah
#Madinah
#Makkah
#operasi
#penerbangan
#Tabung Haji
#Tanah Suci
#Telefon bimbit