Jemaah haji diminta jaga baik nama negara - Idris
Bernama
Mei 30, 2022 23:05 MYT
Mei 30, 2022 23:05 MYT
BUKIT GANTANG: Jemaah haji diminta untuk menjaga nama baik negara dalam menunaikan Rukun Islam kelima itu dan mengelak daripada terlibat dalam sebarang kekecohan yang boleh menyebabkan ancaman kepada keselamatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama ) Senator Datuk Idris Ahmad.
"Negara kita sangat dipandang tinggi oleh jemaah di seluruh dunia dengan disiplin, adab, kesopanan dan kesungguhan dalam menunaikan ibadah haji sepertimana kekaguman Kerajaan Arab Saudi melihat Tabung Haji menguruskan jemaah dengan efisien dan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu meraikan 43 bakal haji Parlimen Bukit Gantang di Pondok Darul Solehah, Batu 9, Changkat Jering hari ini dan turut menasihatkan para jemaah untuk mengambil peluang yang ada nanti dengan berukhwah, berkenalan, saling bantu-membantu sewaktu beribadah nanti selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, Tabung Haji amat tegas dalam memastikan setiap jemaah yang menunaikan haji, memenuhi kesemua kriteria yang ditetapkan sama ada di peringkat Kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji, mahupun Kerajaan Arab Saudi.
"Selain apa yang paling penting adalah persediaan ilmu dalam semua pelaksanaan rukun perlulah cemerlang dengan memastikan setiap bakal jemaah haji jangan terlepas untuk melalui kursus-kursus haji yang disediakan oleh Tabung Haji sama ada secara luar talian mahupun dalam talian," katanya.
Jemaah haji Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci tahun ini adalah seramai 14,306 orang.
-- BERNAMA