Jemaah haji dilarang bawa pulang air zamzam

Sinar Harian
Julai 3, 2023 20:39 MYT
Jemaah haji dinasihatkan agar tidak membawa pulang air zamzam melalui bagasi masing-masing kerana ia menyalahi peraturan. - Gambar hiasan
MAKKAH: Jemaah haji dinasihatkan agar tidak membawa pulang air zamzam melalui bagasi masing-masing kerana ia menyalahi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Pengarah Operasi Maktab, Mohd Sawal Abong berkata, peringatan tersebut diberikan supaya tidak berlaku kesulitan ketika proses pergerakan balik jemaah haji ke tanah air.
"Jangan cuba-cuba bawa balik kerana tidak akan lepas pemeriksaan di lapangan terbang. Kalau mereka jumpa akan dikeluarkan dari beg dengan serta-merta.
"Sebelum ini ada pelbagai cubaan seperti membalut botol air zamzam dengan plastik aluminium tetap gagal sebab kerajaan Arab Saudi mempunyai alat imbasan yang canggih," katanya.
Kata beliau, setiap seorang jemaah haji akan menerima lima liter air zamzam yang boleh dituntut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam pada itu katanya, larangan lain adalah mengikut peraturan penerbangan antarabangsa seperti benda tajam, bahan mudah terbakar, bahan kimia yang berbahaya, senjata api dan sebagainya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau proses daftar masuk bagasi jemaah haji di bangunan penginapan di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Abraj Al Janadriyah, di sini pada Isnin.
Perkhidmatan itu disediakan TH dengan kerjasama syarikat penerbangan bagi memudahkan jemaah menguruskan bagasi mereka tanpa perlu membawanya ke lapangan terbang.
"Ia adalah proses yang amat membantu jemaah kerana tidak perlu bersusah payah di lapangan terbang serta melicinkan urusan untuk pulang ke tanah air.
"Setiap jemaah dibenarkan membawa pulang bagasi seberat 30 kilogram (kg) dan beg yang boleh dibawa menaiki pesawat yang tidak melebihi 7kg," katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dengan pesawat MH8261 akan berlepas pada Rabu 7.15 pagi dan sampai di KLIA pada hari sama jam 9.45 malam.
Sebanyak 98 penerbangan akan membawa pulang 31,600 jemaah haji dengan penerbangan terakhir pada 31 Julai ini. - Sinar Harian
#haji 2023 #air zamzam #jemaah haji #Arab Saudi
;