Jemaah haji anggap insiden terkandas umpama 'percutian' di Jeddah
Bernama
Ogos 27, 2019 18:26 MYT
Ogos 27, 2019 18:26 MYT
Roslina Talib, seorang daripada 476 jemaah haji Malaysia seliaan Tabung Haji (TH), yang terkandas di Jeddah sejak Sabtu lepas ekoran isu teknikal penerbangan, menganggap insiden itu umpama percutian tiga hari dua malam.
Menurut pengusaha taska dari Sri Rampai, Kuala Lumpur itu, pesawat yang sepatutnya membawa jemaah haji Malaysia pulang pada 24 Ogos gagal berlepas, dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, disebabkan isu teknikal.
"Kami terkandas dalam pesawat. Kapten kemudian meminta kami turun dari pesawat dan memaklumkan penginapan akan diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya yang menitiskan air mata sebaik keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Roslina, 52, berkata jemaah haji yang terkandas di bawa ke sebuah hotel di Jeddah.
"Saya kemudiannya mengirimkan teks kepada keluarga di tanah air meminta mereka supaya tidak menunggu di KLIA kerana penerbangan ditangguhkan. Saya juga memberitahu keluarga supaya tidak risau, kerana saya berada dalam keadaan selamat," katanya.
Roslina berkata beliau kasihankan keluarganya yang sudah memasak pelbagai makanan kegemarannya, untuk menyambut kepulangannya.
Malaysia Airlines dalam kenyataannya memaklumkan penerbangan MH8311 kendalian Amal oleh Malaysia Airlines, cabang penerbangan haji dan umrah Malaysia Airlines, yang dijadualkan berlepas dari Jeddah 1.10 pagi pada Sabtu ke Kuala Lumpur, mengalami kelewatan berpanjangan disebabkan isu teknikal dihadapi pesawat A380-800.
Ketika di Jeddah, menurut Roslina mereka dibawa melawat masjid Qisas, yang pernah menjadi tempat pelaksanaan hukuman pancung dan potong tangan.
"Di tepi masjid itu pula terdapat tasik. Kami mengambil peluang untuk menenangkan fikiran dengan melihat panorama di situ," katanya.
Katanya, beliau terpaksa membasuh baju dan mengeringkannya pada waktu malam sepanjang tiga hari terkandas di Jeddah, kerana bagasi jemaah juga terkandas di lapangan terbang Jeddah itu.
Seorang lagi jemaah haji wanita, Hanipah Lagima, 55, dari Johor berkata, hidangan Maggi goreng dan ayam goreng ala Malaysia di hotel penginapan mereka, mengubati rindunya kepada tanah air ketika terkandas itu.
Suaminya Lokman Daim, 63, pula menyifatkan layanan TH sepanjang tempoh mereka terkandas, adalah 'kelas pertama'.
-- BERNAMA