Jemaah 70 tahun ke atas dibenar solat fardu dan Jumaat di masjid, surau
Aida Aziz
Disember 21, 2021 04:08 MYT
Disember 21, 2021 04:08 MYT
IPOH: Jemaah berusia 70 tahun dan ke atas yang lengkap dos vaksinasi, dibenarkan menunaikan solat fardu dan Jumaat di masjid serta surau seluruh Perak berkuat kuasa 21 Disember.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin dalam satu kenyataan berkata, jemputan penceramah luar juga dibenarkan dengan mematuhi Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013 Negeri Perak Darul Ridzuan.
"Setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, ketetapan itu telah dimuktamadkan.
"Iaitu memberi kebenaran kepada jemaah berusia 70 tahun dan ke atas untuk melaksanakan solat fardu dan solat Jumaat di masjid, surau diri Jumaat dan surau seluruh Perak.
"Dengan syarat mereka telah mengambil dos vaksinasi lengkap (dua dos lengkap dan dos penggalak) atau satu dos vaksin bagi Cansino, Moderna dan Johnson&Johnson). Dan melepasi 28 hari selepas dos pertama," katanya dalam hantaran di Facebook Jabatan Agama Islam Perak.
Katanya lagi, penceramah yang dijemput juga perlu mengambil dos vaksinasi lengkap.
"Mereka yang dijemput hendaklah mengambil dua dos lengkap dan dos penggalak, atau satu dos vaksin bagi Cansino, Moderna dan Johnson&Johnson. Dan melepasi 28 hari selepas dos pertama," katanya.
Beliau berkata, penganjuran program berkenaan juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Keselamatan Negara.