Jelingan Si Sulu Parang

Wan Syamsul Amly
Mac 28, 2013 07:00 MYT
BARU hari ini saya tahu penduduk Felda Sahabat ini sebenarnya sudah lama dalam ketakutan.
Perasaan itu bukan wujud sejak mula krisis pencerobohan tapi sudah bermula dari kewujudan Felda Sahabat.
Pasti semua tertanya-tanya mengapa ayat itu baru terpacul selepas lebih seminggu saya di sini.
Pagi Khamis, saya didatangi seorang dalam lingkungan 50-an. Biar saya kenalkan dengan nama Pakcik Mingul. Tiba-tiba hari ini dia datang ke rumah inap dan mengajak saya bersarapan.
Berjalan kaki sahaja ke kedai makan. Tiada soalan. Mingul diam dan menyalakan rokok. Menghembus asap dan mengeluh.
Mingul ini biasa saya lihat di sini, pernah bersalaman dengannya kira-kira 4 atau 5 hari sebelum ini, saya pernah menawarkan diri jika ada apa yang mahu dicerita dan dia hanya diam.
Hati berdebar-debar. Mingul memulakan cerita dengan mata yang bulat. Saya tahu satu lagi rahsia Felda Sahabat akan dibongkar.
"Kalau di sini, kita takut untuk buat hal, jangan terlanggar orang-orang dia, teruk kita nanti.
"Mereka tinggal di pesisir, sudah lama, ulang alik ke Filipina satu jam sahaja, dulu bawa balik macam-macam ke sini.
"Penuh orang dia di bandar ini. Jangan parkir di tempat-tempat ketua mereka di depan kedai tertentu."
Jadi apa maksud sebenar Mingul yang sudah 20 tahun menetap di Felda Sahabat?
Apakah selama ini senyuman yang terukir di wajah masyarakat di sini hanya palsu?
Saya cuba tenangkan situasi, mendengar lagi keluhannya.
"Sukar untuk bersihkan semua sekali. Kalau dibersihkan esok lusa datang lagi.
"Paling elok bina kompleks atau kem tentera di tapak kampung mereka ini.
"Mereka ramai, perkampungan mereka ada hampir di semua kawasan pesisir pantai seluruh negeri ini."
Di Felda Sahabat ini, Kampung Pengkalan dan Batu Batu merupakan dua kawasan penempatan Sulu dengan kapasiti 200 dan 300 penduduk setiap satu.
Di sana khabarnya, pelbagai pecahan Sulu ada. Ia termasuk suku Sulu Parang yang dikatakan paling ganas dan akan mempertahan serta menuntut bela mana-mana anggota masyarakatnya yang diganggu.
Petang membawa ke senja. Saya dan jurugambar, Ahmad Amir Ariffin berani-berani ke Kampung Pengkalan. Konon-konon hendak buat tinjauan.
Melangkah masuk ke kawasan kampung yang berlantai pasir pantai, terasa ditinjau beberapa mata seolah masuk ke kawasan larangan.
Berpatah balik, bulu roma menegak.
Saya perasan dan hampir pasti, jelingan mata pemuda dari suku "Sulu Parang" mengiringi kami keluar dari kawasan itu.
#Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu
;