Jelajah Malaya kenal pasti faktor kemalangan jalan raya
Hilal Azmi
Disember 15, 2017 05:40 MYT
Disember 15, 2017 05:40 MYT
Kemalangan jalan raya kini menjadi ancaman besar negara selepas mencatatkan jumlah kematian 7,152 pengguna pada tahun lalu.
Malah Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan 521,466 kes kemalangan membabitkan hampir sejuta kenderaan berlaku pada tahun sama.
Menurutnya, peningkatan jumlah kemalangan secara amnya diakibatkan oleh sikap pengguna jalan raya serta kualiti jalan yang kurang baik.
"Atas faktor itu, PPJK bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mengambil inisiatif mengadakan satu konvoi motosikal berkuasa tinggi ke seluruh Semenanjung atau Jelajah Malaya bagi mengenal pasti permasalahan dan punca yang mendorong kepada berlakunya kemalangan.
"Konvoi selama empat hari bermula Sabtu ini melibatkan seramai sembilan peserta yang akan merekodkan segala penemuan 'cacat cela' sepanjang jelajah sama ada dalam bentuk visual atau bertulis.
"Konvoi akan bergerak ke selatan tanah air sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur, utara sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Penasihat PPJK, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Tambah beliau, misi kali ini akan merekodkan catatan perjalanan serta hal yang mengancam pengguna jalan raya di sepanjang 2,572 kilometer di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Dalam setiap satu jam, mereka akan berhenti untuk menulis buku catatan perjalanan mengenai sebaran penemuan punca kemalangan. Mungkin mereka akan siarkannya secara langsung di Facebook PPIM dan PPJK.
"Antara perkara yang mungkin ditemukan sepanjang perjalanan yang boleh mengakibatkan kemalangan adalah seperti objek atas jalan raya, permukaan jalan berlubang, haiwan melintas jalan dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya memerlukan masa yang panjang kerana antara punca berlakunya kecelakaan adalah disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri.
"Usaha murni seperti ini memerlukan masa yang panjang. Apa yang mampu dibuat ketika ini mencuba dan terus mencuba mengurangkan kadar kemalangan setiap tahun.
"Lihat sahaja langkah yang diambil negara-negara maju dalam mengatasi masalah ini sehingga kadar kemalangan di negara mereka terkawal," ujarnya.
#Mohammad Hisham Shafie
#Nadzim Johan
#Persatuan Pengguna Islam Malaysia
#Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan
#Polis Diraja Malaysia
#PPIM
#PPJK