Jelajah di Sabah diharap tarik pengunjung ke MAHA 2024 di MAEPS September ini
Bernama
Julai 14, 2024 07:30 MYT
Julai 14, 2024 07:30 MYT
SANDAKAN: Jelajah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan pertama kali di Sabah diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung Sabah ke MAHA 2024, yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), September nanti.
Ketua Sekretariat MAHA Zurihanmi Zakaria berkata jelajah Road to MAHA@Sabah bermula di Kota Kinabalu bermula pada Sabtu, diikuti ke Kota Belud, Kundasang, Telupid dan berakhir di Sandakan, semalam.
"Kita sedia maklum Sabah negeri besar, sebab itu program Road to MAHA@Sabah, ini tidak hanya berpusat di Kota Kinabalu kita meluaskan jangkauan kepada penduduk mengikut daerah yang kita lalui bermula Kota Kinabalu hingga Sandakan, hampir separuh Sabah program ini diadakan.
"Saya yakin pengunjung dari Sabah ke MAHA di MAEPS nanti akan meningkat 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersama warga Sandakan di Dataran Harbour Mall di sini semalam.
Dalam pada Zurihanmi berkata program Road to MAHA di Sabah mencapai matlamat berdasarkan sambutan penduduk di setiap 'pit stop' jelajah program itu di Sabah terutama di Sandakan.
Sempena program malam tadi, Mohamad menyampaikan replika cek program pemerkasaan usahawan peladang (Rise Up 2024) bernilai RM1.41 juta membabitkan 27 usahawan.
Turut disampaikan ialah replika cek bernilai RM824,337.10 bagi program pemilikan jentera kecil dan sederhana tahun 2024 melibatkan 211 usahawan, serta dana pembiayaan Agrobank RM1.7 juta membabitkan lapan usahawan.
-- BERNAMA