Jelajah AKM Selangor buka tirai hari ini di pekarangan Stadium Shah Alam

Bernama
Ogos 19, 2022 10:00 MYT
Jelajah AKM Selangor yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 petang nanti. -Facebook/Keluarga Malaysia Size: 590x400
SHAH ALAM: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor membuka tirainya hari ini dengan pelbagai program dan aktiviti menarik diatur untuk para pengunjung khususnya rakyat Selangor sepanjang tiga hari penganjurannya.
Bertempat di tapak karnival pekarangan Stadium Shah Alam, Jelajah AKM Selangor yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 petang nanti.
Dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu, edisi kelapan Jelajah AKM menampilkan tema 'Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara' dengan melibatkan kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana.
Sebanyak 109 aktiviti telah dirancang sepanjang program tersebut yang akan berlangsung hingga Ahad ini di pentas utama dan mini, rerurai pameran dan kaunter bergerak serta acara luar yang diadakan di pelbagai tempat sekitar Selangor.
Antara program menarik yang telah diatur pada jelajah itu termasuk cabutan bertuah, pertandingan makan Hotdog 1901 terbanyak; pertandingan menghias kek; acara mewarna bersama Omar dan Hana; e-Sukan; Sukan Rakyat serta pertandingan nyanyian Bintang Patriotik.
Selain itu, pelbagai kaunter perkhidmatan kementerian dan agensi juga dibuka selain program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Jualan Murah Keluarga Malaysia serta tawaran diskaun 50 peratus bayaran saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berlangsung serentak di lokasi yang sama.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar ketika ditemu bual di Ruang Bicara Bernama TV baru-baru ini, berkata pada pelancaran Jelajah AKM Selangor, Perdana Menteri juga dijadual menyempurnakan jualan lima barangan keperluan asas di bawah jenama COOP iaitu gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam beku, pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.
Beliau berkata usaha itu adalah selaras dengan permintaan Ismail Sabri yang mahu kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia, memainkan peranan dalam memerangi orang tengah dan membantu rakyat dengan menurunkan harga barangan keperluan.
Sementara itu, bermula 4 petang hingga 7 malam nanti, bakal diadakan kenduri trak makanan atau Kenduri Foodtruck@JAKM dengan para pengunjung akan disajikan dengan menu-menu istimewa secara percuma dari 40 trak makanan.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia #AKM Selangor #pekarangan Stadium Shah Alam
;