Jejantas Stesen Kereta Api Padang Besar ke ICQs dibuka semula
Adie Sufian Zulkefli
Februari 15, 2024 10:20 MYT
Februari 15, 2024 10:20 MYT
PADANG BESAR: Selepas hampir empat tahun ditutup, jejantas yang menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar ke Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQs) Padang Besar dibuka semula.
Jejantas pejalan kaki sepanjang 350 meter itu ditutup pada 1 September 2020 oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis berikutan faktor keselamatan selepas berlaku beberapa siri penangkapan kes cubaan pembolosan ke negara ini oleh pendatang asing tanpa izin menggunakan laluan jejantas sehingga ke kawasan ICQs berkenaan.
Selain itu juga, penutupan jejantas itu juga adalah untuk memberi laluan kepada kerja naiktaraf koridor pejalan kaki yang disambungkan dengan jejantas berkenaan di mana ia sekaligus akan membawa pejalan kaki keluar dari Kompleks ICQs berkenaan menuju ke Bulatan Padang Besar.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Negeri Perlis, Izizam Ibrahim berkata, pembukaan jejantas pejalan kaki itu adalah hasil perbincangan pihaknya dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan JIM.
Mereka secara sebulat suara bersetuju untuk membuka semula jejantas berkenaan bagi kemudahan orang ramai yang turun di stesen kereta api itu menuju ke Arked Niaga Padang Besar dan kawasan sekitarnya.
“Setelah empat tahun ia ditutup, kita bersetuju untuk membuknya semula di mana ia sepatutnya dibuka sejak bulan November tahun lalu namun terpaksa ditunda bulan demi bulan atas sebab tertentu dan jejantas ini dibuka setiap hari dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Bagi saya apabila kemudahan jejantas ini dibuka, maka kita berjaya menyelesaikan antara dua hingga tiga perkara berbangkit berhubung keselesaan pengunjung yang turun di stesen kereta api ini namun dalam penelitian terdapat beberapa perkara yang perlu lagi ditambah baik selepas ini.
“Ini termasuklah kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda untuk melalui jejantas ini di mana hanya disediakan tangga sahaja dan untuk sementara ini, golongan OKU ini mungkin terpaksa menggunakan khidmat teksi atau kenderaan perkhidmatan e-hailing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Katanya, dalam masa yang sama juga, impak kepada pembukaan semula jejantas itu dilihat akan menyebabkan pendapatan pemandu teksi serta perkhidmatan kereta e-hailing yang sering membawa pelancong untuk ke tempat membeli belah seperti Arked Niaga Padang Besar atau Padang Waremart terjejas.
“Saya tetap mengambil peka akan nasib pemandu teksi dan pemandu perkhidmatan kereta e-hailing di mana sebelum ini mereka yang banyak membawa pelancong ulang alik dari stesen kereta api ini ke tempat beli belah di Padang Besar ini tatkala jejantas itu ditutup.
“Oleh hal demikian, saya ada bertemu mereka bagi mencari solusi terbaik dalam hal ini dan selain itu juga, saya melihat kita perlu mencari satu alternatif dalam merancakkan lagi suasana di sekitar kawasan stesen kereta api ini seperti mewujudkan rumah transit kepada penumpang yang tiba awal di stesen ini.
“Dalam hal itu, terdapat dua hingga tiga pelabur yang menunjukkan minat untuk membangunkan kawasan sekitar stesen keretapi ini namun buat masa ini kita masih di peringkat perbincangan,” katanya.
Pembinaan laluan pejalan kaki berpagar berkenaan menelan kos sebanyak RM250,000 selain turut dilengkapi kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) yang sentiasa dipantau oleh pihak keselamatan.
Berdasarkan rekod JIM Negeri Perlis, terdapat penurunan dalam tangkapan PATI yang menggunakan jejantas berkenaan pada 2018 dan 2019 di mana pada 2018 seramai 12 org ditahan membabitkan tiga warga Thailand, seorang dari Laos dan lapan orang dari India.
Manakala pada 2019, jumlah berkenaan menurun kepada tujuh tangkapan sahaja membabitkan enam warga Vietnam dan seorang warga Thailand.