Jejantas Rimba FRIM: Produk ekopelancongan, promosi khazanah negara - Nik Nazmi
Bernama
Jun 27, 2023 17:15 MYT
Jun 27, 2023 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jejantas Rimba atau Forest Skywalk Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) di Taman Botani Kepong sepanjang 250 meter (m) dan setinggi antara 18 m hingga 50 m mampu meningkatkan industri ekopelancongan, sekali gus mempromosikan kelestarian biodiversiti negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jejantas itu merupakan struktur pertama seumpamanya dibina menggunakan aluminium dan dilihat sebagai satu daripada produk baharu bagi aktiviti ekopelancongan yang unik kerana ia dibina di atas silara hutan.
"Berdasarkan rekod, FRIM telah menerima sebanyak 1.145 juta pengunjung bagi tempoh 2018 hingga Mac 2023, yang meliputi pengunjung awam, lawatan secara rasmi dan pas riadah.
"Pengunjung ke Jejantas Rimba khususnya, telah mencecah sebanyak 56,919 orang bagi tempoh 2020 hingga Mac 2023 dengan pendapatan berjumlah RM768,168. Perkara ini sangat membanggakan kerana tempoh ini juga sewaktu berlakunya COVID-19," katanya selepas merasmikan Jejantas Rimba itu pada sesi lawatan kerjanya ke FRIM di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata Jejantas Rimba itu mula beroperasi pada 31 Ogos 2020 yang dibiayai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Dalam majlis sama, Nik Nazmi turut melancarkan rangkaian produk penghalau serangga jenama Ciera yang dikeluarkan melalui teknologi FRIM dan menyaksikan penyerahan Sijil Pendaftaran Varieti Baharu Tumbuhan serta Pemberian Hak Pembiak Baka klon elit bagi tumbuhan jenis kacip fatimah.
Selain itu, beliau turut menanam pokok jenis Damar Minyak sebagai simbolik bagi memperingati lawatan kerja itu.
Mengenai program hari ini, Ketua Pengarah FRIM Dr Ismail Parlan berkata struktur itu dibina menggunakan bahan jenis aluminium (heavy duty) dengan piawaian antarabangsa dan diperkukuh dengan pemasangan guy wire bagi memastikan keselamatan pengunjung pada tahap terbaik.
"Struktur ini akan menjadi struktur kekal yang menjadi mercu tanda kepada FRIM dengan pemantauan dan penyelenggaraan berkesan oleh pegawai dan petugas FRIM yang kompeten.
"Harapan kami agar pembangunan Jejantas Rimba FRIM akan meningkatkan lagi imej FRIM sebagai sebuah pusat ekopelancongan semula jadi di Selangor, sekali gus menjana sumber pendapatan melalui aktiviti pelancongan secara langsung dan tidak langsung," katanya.
Sementara itu, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM Ahmad Azaruddin Mohd Noor berkata pengunjung ke FRIM juga akan didedahkan dengan pelbagai fasiliti yang menekankan kepada aspek pendidikan.
Mengambil contoh kemudahan jurupandu alam yang disediakan FRIM, beliau berkata inisiatif itu mampu membantu pengunjung untuk mengenali dan menghayati khazanah semula jadi negara.
Turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Rosli Isa.
Jejantas Rimba FRIM dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 4 petang dan ditutup pada setiap Jumaat.
-- BERNAMA