Jejambat Jalan Langgak Golf di ibu negara dibuka sepenuhnya esok

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 14, 2022 15:50 MYT
Jejambat yang menelan belanja RM492.5 juta akan dibuka sepenuhnya lewat malam ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Laluan jejambat yang menghubungkan Jalan Langgak Golf dengan Bulatan Kampung Pandan kini boleh digunakan oleh pengguna bermula esok (12.01 tengah malam Ahad).
Perasmian jejambat berkenaan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutan Datuk Seri Shahidan Kassim pagi tadi
Menurutnya jejambat sepanjang 2.8 kilometer itu mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang sering dialami oleh warga kota sebelum ini terutamanya ketika waktu puncak.
Tambahnya lagi, ia mampu mengurangkan aliran trafik yang menggunakan laluan Jalan Tun Razak menuju ke arah Bulatan Kampung Pandan.
Projek yang dijalankan oleh NAZA Properties Sdn Bhd itu siap sepenuhnya pada 11 Mei lalu.
“Projek ini telah dimulakan pada Julai 2017 dahulu. Kita berharap dengan pembinaan jalan ini ia dapatlah mengurangkan apa yang dipanggil kesesakan di KL.
“Saya juga pasti beberapa jalan yang sedang dibina sekarang ini bila ia siap ia sudah pasti menyumbang kepada kekurangan kesesakan,” jelasnya pada Majlis Pelancaran jejambat tersebut.
Jejambat Jalan Golf | Pembukaan lewat malam ini
Jejambat berkenaan juga turut menghubungkan laluan keluar masuk ke Lebuh raya Maju Expressway bagi memudahkan pengguna dari Putrajaya ke Puchong untuk memasuki Kuala Lumpur.
Malah ia juga mampu memberikan akses kepada pengguna yang ingin keluar daripada jalan Bukit Bintang.
Projek itu juga katanya dirancang untuk menghubungkan Setiawangsa Pantai Expressway pada masa akan datang.
Pembinaan jejambat itu bagaimanapun telah mengalami kelewatan daripada jadual asal yang sepatutnya disiapkan iaitu pada 8 Julai 2019.
Ia disebabkan beberapa faktor termasuk ancaman pandemic COVID-19 yang melanda, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan serta masalah banjir kilat yang melanda sebelum ini.
Kos keseluruhan pembinaan jejambat tersebut menelan belanja sebanyak RM492.5 juta.
#banjir kilat #PKP #Kuala Lumpur #Shahidan Kassim #jejambat #Jalan Langgak Golf #bulatan kampung pandan #Bukit Bintang
;