Jejak Pahlawan, D'Tebing bakal jadi tarikan baharu KL
Bernama
Mac 1, 2022 06:40 MYT
Mac 1, 2022 06:40 MYT
KUALA LUMPUR: Laluan pejalan kaki Jejak Pahlawan di Bulatan Dato Onn bersebelahan Dataran Merdeka bakal menjadi produk pelancongan terbaru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa ke ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata inisiatif itu bakal dirancakkan lagi dengan operasi Pusat Penjaja D'Tebing yang sekali gus bermatlamat membantu menaikkan semula sektor perniagaan tempatan yang terjejas teruk akibat COVID-19.
"Pusat Penjaja D'Tebing pada asalnya serba kekurangan, namun ia kini telah dinaik taraf oleh DBKL agar ia berwajah baharu dan menarik pengunjung.
"Kita mahu orang ramai singgah ke premis-premis ini semula, seperti mana sebelum pandemik," katanya ketika merasmikan Jejak Pahlawan dan pusat penjaja berkenaan di sini malam tadi.
Projek menaik taraf pusat penjaja berkonsep medan selera yang menelan belanja RM1 juta tersebut turut dilengkapi fasiliti surau bagi memudahkan pengunjung beroperasi sehingga waktu malam.
Pusat penjaja terletak berhampiran dengan sebahagian projek laluan Jejak Pahlawan sepanjang dua kilometer, di Bulatan Dato Onn.
-- BERNAMA