Jefrey Kitingan kecewa rombongan Musa Aman tidak dibenar bertemu TYT Sabah

Ruzaini Zulkepli
Julai 30, 2020 18:11 MYT
Menurut Jefrey, pihaknya dimaklumkan bahawa Tun Juhar Mahiruddin tidak membenarkan mereka untuk bertemu tanpa sebarang penjelasan sah. - Gambar fail
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr Jefrey Kitingan melahirkan kekecewaan selepas kegagalan rombongan mereka menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah petang ini.
Menurut Jefrey, pihaknya dimaklumkan bahawa Tun Juhar Mahiruddin tidak membenarkan mereka untuk bertemu tanpa sebarang penjelasan sah.
"Kita sudah hantar surat kepada Tuan Yang Terutama, memaklumkan kepada beliau kita ada 33 Yang Berhormat (YB) yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.
"Tapi tidak ada jawapan, sekarang kita berada di sini untuk menuju ke istana meminta penjelasan mengapa (tidak dibenarkan menghadap). Saya bagi pihak YB di sini berasa kecewalah, kenapa tidak dibenarkan untuk mendapatkan penjelasan ini," katanya ketika ditemui.
Sebelum itu, rombongan yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN untuk menghadap Yang Dipertua Negeri tersekat apabila tidak dibenarkan masuk ke Istana Negeri Sabah, pada petang tadi.
Kesemua ADUN berkenaan yang menaiki lebih 10 buah kenderaan itu beredar kira-kira pukul 5.30 petang selepas ditahan pasukan polis di Jalan Istana.
Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga terdahulu telah membuat sidang media di kediamannya di Luyang, kira-kira pukul 2.30 petang.
BACA: Rombongan Musa Aman 'disekat' di luar pintu Istana Negeri
#Ahli Dewan Undangan Negeri #Jefrey Kitingan #Musa Aman #Politik Sabah #Tambunan #Tun Juhar Mahiruddin #Yang Dipertua Negeri Sabah
;