Jeff Ooi didesak minta maaf kepada keluarga Allahyarham Haron Din

Bernama
September 17, 2016 19:56 MYT
DPPM mendesak Jeff Ooi (gambar) memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din di atas kenyataan di Twitter berhubung kematian Mursyidul Am PAS itu semalam.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Anggota Parlimen DAP Jelutong Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din di atas kenyataan di Twitter berhubung kematian Mursyidul Am PAS itu semalam.
Ketua Penerangan DPPM Ahmad Fadhli Shaari berkata Ooi dalam kenyataannya itu menulis 'Adios Harun Din. Let there be peace', sekali gus membayangkan kebenciannya kepada pimpinan PAS tersebut selama ini.
"DPPM menyifatkan bahawa Jeff Ooi seorang ahli parlimen yang paling kurang ajar di negara ini apabila sanggup mengeluarkan perkataan tersebut pada waktu sangat tidak sesuai.
"Dalam isu kematian Allahyarham Tuan Guru Datuk Haron Din ini, Jeff Ooi tidak cukup hanya sekadar wajib memadamkan kenyataannya di Twitter semata-mata, bahkan wajib mengemukakan permohonan maaf kepada ahli keluarga Allahyarham bagi menunjukkan dia benar-benar kesal dan menarik balik kenyataan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata pada realitinya tindakan Ooi menunjukkan wajah sebenar DAP apabila berdepan dengan isu melibatkan agamawan yang dilihat tidak selari dengan ideologi perjuangan sekular mereka.
Ini bukan kali pertama Ooi bersikap biadap seperti itu, kata Ahmad Fadhli.
Di GEORGE TOWN, Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) mendesak Ooi memohon maaf secara terbuka khususnya kepada keluarga Allahyarham Haron.
Ketua Pemuda DPPNPP Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata tindakan Ooi itu telah mencemar reputasinya sebagai seorang anggota Parlimen yang sepatutnya menyelesaikan permasalahan rakyat dan bukan sibuk memaki hamun orang yang telah meninggal dunia.
"Lebih mengecewakan apabila tindakan bacul Jeff Ooi menyekat twitter ahli PAS Jelutong, saudara Mustaqim (Yahaya) apabila memohon penjelasan daripadanya.
"Sekiranya inilah sikap perjuangan DAP selama ini maka bersedialah untuk parti tersebut untuk tidak diterima masyarakat dan lenyap dari muka bumi ini khususnya di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Afnan Hamimi berkata tindakan itu juga seolah-olah hendak menimbulkan ketegangan kaum di negara ini. -Bernama
#DAP Jelutong #Dewan Pemuda PAS Malaysia #DPPM #Haron Din #Jeff Ooi #mohon maaf
;