Jeddah destinasi terakhir dari LCCT
Hilal Azmi
Mei 8, 2014 20:13 MYT
Mei 8, 2014 20:13 MYT
LCCT ditutup secara rasminya pada Jumaat dengan penerbangan terakhir AirAsia X berlepas ke Jeddah pada pukul 2.30 pagi.
Hari ini merupakan hari terakhir operasi Air Asia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
Dari tinjauan Astro AWANI, keadaan masih lagi sibuk dengan beberapa penerbangan dari sini masih beroperasi seperti biasa.
Difahamkan lebih 42 penerbangan Air Asia sudah pun mendarat di KLIA2 hari ini dan operasi penerbangan akan mula berpindah bermula tengah malam ini.
Penerbangan AirAsia dari Ho Chi Minh pertama mendarat di Klia2
Sementara itu AirAsia dengan rasminya menandakan kehadirannya di lapangan terbang baharu, klia2, dengan ketibaan penerbangannya dari Bandaraya Ho Chi Minh petang tadi .
Dalam satu kenyataan hari Khamis, AirAsia berkata Flight AK 539 tiba pada pukul 3.40 petang dan telah disambut oleh Pengerusi Eksekutif Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Aireen Omar.
Klia2, terminal khas terbesar di dunia bagi penerbangan kos rendah (LCC) dengan kapasiti untuk menampung hingga 45 juta penumpang setahun, memulakan operasinya pada 2 Mei. AirAsia berkata 3,550 daripada kakitangan operasinya dan 70 pesawat (AirAsia dengan 54 pesawat Airbus A320 dan AirAsia X dengan 16 pesawat Airbus A330) akan berpangkalan di lapangan terbang baharu itu mulai esok.
Syarikat itu beroperasi di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak lapan tahun lalu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia Airports Holdings Berhad berkata perpindahan penerbangan AirAsia ke Klia2 telah bermula lancar dengan ketibaan dua penerbangan antarabangsa dan dua penerbangan domestik setakat pukul 5.00 petang hari ini.
Sebelum itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasinya, Datuk Azmi Murad, juga hadir di klia2 untuk menyambut Penerbangan Flight AK 539 AirAsia. -- Bernama