JDT gesa PDRM segera siasat insiden serangan ke atas pemain
Bernama
Mei 8, 2024 17:10 MYT
Mei 8, 2024 17:10 MYT
JOHOR BAHRU: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat insiden membabitkan pemainnya Safiq Rahim, yang diserang individu tidak dikenali semalam.
Ketua pegawai eksekutifnya Alistair Edwards berkata dalam masa yang sama pasukan JDT turut menzahirkan kerisauan berkaitan keselamatan pemain susulan serangan yang berlaku berhampiran pusat latihan kelab itu.
"Insiden itu bersama serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim (pemain bola sepak kebangsaan) baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak.
"Disebabkan kes-kes terkini, JDT kini meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.
Menurutnya pihak JDT juga telah menasihatkan para pemainnya untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka di media sosial pada setiap masa.
-- BERNAMA