JBPM terima perolehan aset dan penambah baikan fasiliti RM291.4 juta - Reezal

Fareez Azman
September 19, 2022 12:00 MYT
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan empat perolehan diluluskan Kementerian Kewangan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bernilai RM291.4 juta. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA : Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan empat perolehan diluluskan Kementerian Kewangan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bernilai RM291.4 juta.
Menurut beliau, perolehan itu bagi memperkukuhkan agenda kementerian berkenaan dalam mengukuhkan perkhidmatan bomba dan penyelamatan negara.
Reeza berkata, perolehan itu merangkumi Fire and Rescue Boat (FRB), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) serta fasiliti latihan.
Katanya, perolehan bagi jentera-jentera penting bomba yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan merangkumi enam buah Fire and Rescue Boat (FRB) bernilai RM15.5 juta, lima unit Urban Search and Rescue (USAR) bernilai RM7.5 juta dan perolehan 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) bernilai RM145.8 juta.
"Kedua perolehan bagi pembangunan projek Command, Control, Communications, Computers and Intelligent (C4iFRDM) bagi mempertingkatkan lagi sistem komunikasi kecemasan JBPM dengan kelengkapan teknologi maklumat yang terkini dan sistematik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan) 2021, di sini, pada Isnin.
Daripada perolehan itu, tambah Reezal, hampir RM40 juta diperuntukkan bagi pembangunan Fasa 3 Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu.
Ia meliputi pembangunan fasiliti latihan seperti pembinaan Simulator Swift Water Training, Water Rescue Training Complex, Highway Emergency and Traffic Accident Rescue dan Industrial Fire Fighting Simulator.
"Kerajaan juga telah meluluskan permohonan bagi projek Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Bomba di Subang bernilai RM33.6 juta yang merangkumi pembinaan bangunan pentadbiran, hangar, stor logistik, bengkel kejuruteraan, heliport, stesen bahan api pesawat dan lain-lain kemudahan," jelas beliau lagi.
#Reezal Merican Naina Merican #Jabatan Bomba dan Penyelamat #perolehan #Kementerian Kewangan
;