JBPM terima lebih 30,000 panggilan kebakaran tahun lepas, babit kerugian RM2.6 bilion - Nga

Bernama
Februari 2, 2024 18:00 MYT
Nga Kor Ming berkata jumlah kerugian itu bukannya satu jumlah yang kecil, malah lebih besar daripada Belanjawan 2024 yang dibentangkan di DUN Selangor. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 34,389 panggilan kebakaran diterima dan diambil tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang tahun lepas, melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM2.6 bilion.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata jumlah kerugian itu, merupakan angka amat membimbangkan dan bukannya satu jumlah yang kecil, malah lebih besar daripada Belanjawan 2024 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor.
"Ini sebagai satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama yang bakal balik kampung sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi, bahawa pencegahan amat penting supaya jangan tunggu sampai berlaku kebakaran.
"Oleh kerana itu kita berharap semua mengambil langkah-langkah pencegahan untuk pastikan sebelum balik rumah (kampung)," katanya menambah sepanjang Ops Tahun Baru Cina 2023, sebanyak 747 kes kebakaran direkod dan 13 peratus daripadanya merupakan kebakaran melibatkan bangunan.
Nga berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024: Ops Siaga Raya di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.
Terdahulu, Nga dan pihak JBPM turut mengagihkan alat pemadam api kepada Pasukan Bomba Komuniti, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan Pasukan Bomba Sukarela serta pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mereka yang akan pulang ke kampung masing-masing sempena Tahun Baru Cina ini, supaya memandu berhati-hati memandangkan jumlah kematian atas jalan raya juga merekodkan angka membimbangkan.
"Saban tahun sebanyak 7,000 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya. Ini membawa kata lain kepada lebih 20 orang mati setiap hari atas jalan raya dan ini satu kadar kemalangan yang wajib kita kurangkan," katanya.
Di pihak kementerian, Nga berkata KPKT akan terus komited memastikan semua jalan raya, lampu jalan dan sistem peparitan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai masalah atau kerosakan, untuk segera dibaiki dan ditambah baik bagi menjamin pemanduan lebih selamat.
"Selaku Menteri, saya sentiasa memberi penekanan bahawa perkhidmatan asas yang terbaik ialah misi utama kementerian, iaitu jalan yang rata, lampu yang terang, longkang yang bersih. Tahun lepas, KPKT berjaya melaksanakan 5,196 projek prasarana untuk rakyat dengan peruntukan RM700 juta," katanya.
Sementara itu, Nor Hisham berkata sebanyak 3,592 kes panggilan kecemasan bagi menghadiri kebakaran kenderaan diterima tahun lepas dan daripada jumlah itu, seramai 52 mangsa telah terkorban akibat insiden yang melibatkan kebakaran kenderaan dan 148 mangsa cedera.
"Oleh itu, JBPM menyarankan kepada semua pemilik kenderaan, agar membawa dan menyimpan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api bagi setiap kenderaan, mengikut kapasiti kenderaan tersebut," katanya.
Nor Hisham berkata sempena Ops Tahun Baru Cina 2023, pihaknya menyasarkan untuk mengadakan pemeriksaan kebakaran di 4,000 premis seluruh negara, termasuk inap desa, hotel dan pusat beli-belah, bagi memastikan setiap premis memiliki sekurang-kurangnya alat pemadam api, penggera kecemasan dan pintu kecemasan yang boleh diakses.
-- BERNAMA
#panggilan kebakaran #jabatan bomba #JBPM #Nga Kor Ming #jumlah kerugian
;