JBPM Terengganu masih mampu berdepan situasi banjir semasa - Pengarah

Bernama
November 29, 2024 23:39 MYT
Hassan 'As'ari Omar berkata pihaknya belum membuat permohonan kepada ibu pejabat agensi itu di Putrajaya untuk menghantar bantuan ke Terengganu. - Gambar fail/Bernama
KUALA BERANG: Kekuatan sedia ada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu setakat ini masih berupaya mendepani situasi semasa banjir di negeri itu.
Pengarah JBPM Terengganu Hassan 'As'ari Omar berkata pihaknya belum membuat permohonan kepada ibu pejabat agensi itu di Putrajaya untuk menghantar bantuan ke Terengganu.
"Sehingga saat ini, kalau tengok memang trend meningkat tetapi setakat ini juga, JBPM Terengganu dengan keupayaan anggota dan asetnya masih mampu... keadaan masih terkawal, cuma tak tahu keadaan malam ini dan esok.
"Namun seandainya banjir ini menunjukkan peningkatan signifikan yang lebih berat, besar kemungkinan (kami) akan dapatkan bantuan," katanya kepada pemberita di sini.
Setakat 10 malam ini, Terengganu merekodkan sejumlah 25,425 mangsa di tujuh daerah dengan Besut kekal mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 11,970 orang diikuti Setiu (5,259), Hulu Terengganu (4,867) dan Kemaman (1,434).
Jumlah itu turut merangkumi 1,051 mangsa di Dungun, 576 di Marang dan 268 di Kuala Nerus.
Terengganu juga mencatatkan korban pertama banjir iaitu seorang warga emas berusia 66 tahun yang lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah padi di Kampung Amir dalam daerah Besut, semalam.
-- BERNAMA
#JBPM #banjir #warga emas #lemas
;