JBPM Terengganu kenal pasti 192 lokasi berisiko banjir
Bernama
Oktober 4, 2022 23:29 MYT
Oktober 4, 2022 23:29 MYT
PERMAISURI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 192 lokasi berisiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata pihaknya dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan dengan melakukan pemantauan dan rondaan secara berkala, terutama di kawasan yang berisiko.
"Lokasi yang kita kenal pasti ini dikelaskan berdasarkan kawasan yang dilanda banjir tahun lalu.
"Sebagai agensi penyelamat, kita sentiasa dalam keadaan siap siaga sama ada daripada sudut kekuatan anggota dan aset mencukupi untuk pastikan operasi menyelamat berjalan lancar," katanya selepas Majlis Penutup Kursus Pemantapan Pasukan Khas JBPM Terengganu bersama Kementerian Kesihatan (KKM) di Hutan Lipur Lata Changkah di sini, hari ini.
Seramai 38 anggota dan pegawai daripada pasukan khas iaitu Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS), Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Rapid Intervention Motorcycle (RIM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan anggota paramedik dari hospital awam seluruh negeri menyertai kursus itu.
Kursus selama tiga hari itu memfokuskan kepada latihan dan kerja-kerja menyelamat serta merawat mangsa di kawasan curam.
Sementara itu, Md Hilman berkata pihaknya mempunyai kekuatan aset yang mencukupi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di negeri ini.
"Kita ada 50 unit bot dan kita jangka jumlah ini cukup untuk kerja-kerja menyelamat, untuk melancarkan tugas menyelamat juga kita hanya benarkan 10 peratus daripada 800 anggota bercuti.
"Jika diperlukan, anggota yang sedang bercuti boleh dipanggil bertugas untuk menyelamatkan nyawa," katanya.
-- BERNAMA
#JBPM Terengganu
#monsun timur laut
#MTL
#lokasi banjir
#banjir terengganu
#Banjir pantai timur
#Md Hilman Abd Rashid
#kawsan berisiko