JBPM siap siaga banjir di Pantai Timur
Bernama
November 4, 2017 17:32 MYT
November 4, 2017 17:32 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) siap siaga menghadapi banjir di negeri-negeri pantai timur bermula bulan ini berikutan ketibaan musim monsun timur laut.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan kesiapsiagaan itu pada Rabu lepas termasuk pembekuan cuti terhadap pegawai dan anggotanya mengikut keperluan sebagai persiapan menghadapi bencana alam, seperti banjir .
"Persiapan menghadapi banjir ini kita lakukan mengikut trend cuaca semasa. Sebelum ini kita memberi tumpuan di bahagian utara semenanjung.
Namun bermula November ini fokus kita kepada negeri-negeri di pantai timur sebelum menganjur ke selatan tanah air seterusnya ke Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Geting, Tumpat di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood dan Timbalan Setiausaha Bahagian Cawangan Dasar dan Inspektorat Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Khoo Joo Bee.
Program itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran penyelamatan dan usaha mengurangkan kejadian lemas ketika menjalankan aktiviti di air.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk teori dan praktikal belajar berenang, kaedah menyelamat, mengenali simbol dan tanda amaran, program keselamatan komuniti dan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Dalam pada itu Wan Mohd Nor berkata purata kematian akibat lemas di air masih tinggi iaitu kira-kira 590 kes setahun dan lokasi terbanyak melibatkan sungai dan tali air.
Beliau berkata kebanyakan mangsa adalah golongan kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 24 tahun.
Katanya menyedari hal itu JBPM selaku agensi penyelamat utama yang dipertanggungjawabkan di bawah Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) akan mempergiatkan usaha menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengurangkan insiden dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa memainkan peranan dengan melakukan pengawasan terhadap anak-anak terutama di musim tengkujuh.
-- BERNAMA