JBPM sedia bayaran kepada sebarang bantuan semasa kemalangan - KP Bomba
Wan Syamsul Amly
Jun 13, 2017 20:31 MYT
Jun 13, 2017 20:31 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ada menyediakan bayaran kepada mana-mana pemandu kren yang terlibat membantu anggotanya dalam sebarang kemalangan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Katanya, kejadian pemandu kren yang didakwa enggan menghulurkan bantuan semasa nahas di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong di Jempol baru-baru ini merupakan insiden pertama kali berlaku di negara ini.
"Pada masa lepas, biasanya perkara ini tidak timbul. Ada operator kren yang biasanya beri (perkhidmatan) percuma sebagai CSR (tanggungjawab sosial korporat).
"Kalau perlu bayaran, kita selesaikan selepas itu. Sebab, ini merupakan kecemasan. Kita tidak sempat keluarkan LO (pesanan tempatan) dan sebagainya. Itu SOP (prosedur operasi standard). Bantu dulu, bayar kemudian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Ops Raya 2017 JBPM oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar di sini hari ini.
Dalam kejadian pada Ahad, anggota bomba dan penyelamat mengambil masa sehingga lima jam untuk mengeluarkan enam mangsa yang rentung daripada remukan kenderaan yang terbabit dalam nahas di Jempol itu.
Difahamkan, selain pemilik treler dari Kemayan yang enggan bekerjasama, beberapa pengendali kren juga keberatan memberi pertolongan kerana tidak tahu pihak yang akan membayar perkhidmatan mereka.
Keadaan itu menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengalihkan treler yang menghempap Proton Exora, termasuk cuba menggunakan khidmat kenderaan berat lain seperti lori tangki dan lori ikan, namun tidak berhasil.
Dalam pada itu ketika ditanya apakah anggotanya tidak dimaklumkan mengenai SOP pembayaran berkenaan, ini kata Wan Mohd Nor:
"Sebab dia di bahagian operasi, dia tidak tahu proses kewangan. Sepatutnya, anggota beritahu operator kren, dia tak faham.
"Sepatutnya, dia beritahu operator kren, sekiranya ada tuntutan bayaran, ia tak berlaku semasa kejadian."
Pada Isnin, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mencari penyelesaian berhubung isu bayaran ketika berlakunya kemalangan.
Sementara itu, Ops Raya 2017 akan dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi lain selama 15 hari bermula dari 18 Jun sehingga 2 Julai depan.
Seramai 11,200 pegawai daripada keseluruhan 14,000 anggota JBPM akan bertugas sepanjang cuti perayaan tahun ini termasuk di kesemua 284 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara.
#Ab Aziz Kaprawi
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#kemalangan
#mangsa
#Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#Ops Raya 2017
#Wan Mohd Nor Ibrahim