JBPM Sarawak siap siaga hadapi banjir, SOP pusat pemindahan diperketat
Munirah Mudzamli
November 17, 2020 17:18 MYT
November 17, 2020 17:18 MYT
KUCHING: Monsun Timur Laut yang bermula pertengahan November hingga awal Januari depan dijangka mengundang risiko banjir di beberapa kawasan di Sarawak.
Ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai keadaan keselamatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir terutamanya ketika pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Bagi meredakan kebimbangan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman menjelaskan perkara berkenaan telahpun dibincangkan pihaknya bersama agensi lain.
"Kita tahu dalam pemindahan ini, kita dipersoalkan sekiranya terdapat mangsa positif ataupun individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS).
"Kita guna tiga SOP dari NADMA, SDMC dan Jabatan Bomba sedia ada yang telah diguna pakai anggota sebelum ini.
Ini bermakna kita perlu mematuhi dan menilai kesemua SOP terutamanya dari SDMC berkaitan dengan pusat pemindahan banjir dan pemindahan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media persiapan JBPM negeri Sarawak menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Kuching hari ini.
Tambahnya lagi, pusat pemindahan akan ditambah sekiranya ia diperlukan untuk menempatkan lebih mangsa banjir.
Menyentuh mengenai jumlah penumpang dalam bot penyelamat, Khirudin berkata ia akan dihadkan kepada lima orang berbanding 10 orang bagi mematuhi arahan penjarakan fizikal.
Sementara itu Khirudin memaklumkan 1194 anggota JBPM berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
JBPM Sarawak ketika ini mempunyai 16 unit lori, 67 unit utiliti pacuan empat roda, 44 unit bot penyelamat dan satu unit helikopter yang akan dikerahkanuntuk operasi menyelamat jika berlakunya bencana.
#banjir
#Sarawak
#JBPM
#bot
#mangsa
#SOP
#penjarakan sosial
#PPS
#pusat pemindahan
#pandemik
#operasi
#Khirudin Drahman