JBPM pandang serius dakwaan rasuah, lobi naik pangkat

Bernama
Julai 17, 2024 21:26 MYT
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memandang serius dakwaan rasuah dan melobi kenaikan pangkat membabitkan anggotanya seperti yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
"Kita memandang serius dakwaan seperti ini," katanya ringkas kepada Bernama.
Terdahulu tular di aplikasi Telegram gambar dua pegawai sebuah pasukan penyelamat yang didakwa sedang melobi kenaikan pangkat dan disyaki terbabit dengan aktiviti rasuah.
Nor Hisham berkata pegawai terbabit akan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Beliau menjelaskan pegawai dan anggota yang tidak berpuas hati dengan sebarang perkara boleh menyalurkan maklumat sama ada menerusi majlis bersama jabatan, aduan dalam talian atau surat.
"Setiap aduan walaupun bersifat surat layang, jabatan tetap ambil langkah siasat dan tindakan susulan," katanya.
-- BERNAMA
#JBPM #dakwaan rasuah #lobi naik pangkat #Nor Hisham Mohammad
;