JBPM laksana penerbangan ihsan bawa ibu mengandung, kanak-kanak

Bernama
November 12, 2024 14:15 MYT
Penerbangan itu melibatkan lima anak kapal yang berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang. - Gambar fail
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan penerbangan perubatan ihsan dengan membawa dua pesakit Orang Asli untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.
Penguasa Kanan JBPM Muhammad Fisol Rosli berkata pesakit tersebut terdiri daripada seorang kanak-kanak Manrol Ada, 10, yang mengalami pening dan demam panas, serta seorang wanita mengandung Ata Abus, 40, yang memerlukan rawatan susulan. Kedua-duanya dibawa keluar menggunakan pesawat Agusta Westland AW139.
"Penerbangan itu melibatkan lima anak kapal yang berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang pada pukul 2.35 petang dan tiba di Pos Balar pada pukul 3.25 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya semua pesakit diserahkan kepada petugas kesihatan sebaik sahaja pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 3.46 petang.
-- BERNAMA
#JBPM #penerbangan ihsan #unit udara #Orang Asli
;