JBPM laksana operasi Medevac bantu lapan pesakit Orang Asli
Astro Awani
Januari 2, 2024 11:00 MYT
Januari 2, 2024 11:00 MYT
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tiga penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membantu lapan Orang Asli yang terdiri daripada tiga kanak-kanak, dua wanita dan seorang lelaki dari Pos Bihai, Pos Gob dan Pos Tembaga bagi menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.
Menurut pihak bomba, dua kanak-kanak dari Pos Bihai mengalami demam panas, cirit-birit, pernafasan laju serta lemah badan.
Selepas membuat pengisian bahan api, pesawat kemudiannya berlepas ke Pos Gob untuk mengambil seorang pesakit kanak-kanak perempuan dan seorang pesakit lelaki yang memerlukan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang.
Pesawat seterusnya berlepas dari Pos Gob ke Pos Tembaga bagi mengambil dua pesakit wanita mengandung yang memerlukan rawatan dan seorang pesakit kanak-kanak lelaki yang mengalami lemah anggota badan dan memerlukan pengusung.
Kesemua pesakit telah berjaya dibawa keluar menaiki helikopter Mi-171 ke Gua Musang untuk di hantar ke hospital berhampiran.