JBPM kenakan tindakan terhadap 13 anggota, pegawai bankrap

Adie Sufian Zulkefli
Mac 12, 2025 09:40 MYT
Nor Hisham berkata, terdapat beberapa faktor yang menjerumuskan anggota dalam isu ini antaranya menjadi penjamin kepada pihak lain yang membuat pinjaman bank. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengambil tindakan disiplin terhadap seramai 13 pegawai dan anggota yang terlibat dalam isu bankrap dalam tempoh lima tahun ini sejak 2020.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat beberapa faktor yang menjerumuskan anggota dalam isu ini antaranya menjadi penjamin kepada pihak lain yang membuat pinjaman bank.
“Ada pegawai kita ni kita tengok dia letakkan nama dalam syarikat, dia tak sedar dulu masa dia bujang-bujang letak nama dalam syarikat, bila syarikat ada masalah tak bayar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lepas tu kena ambil tindakan jadi dia kena sekali.
“Keduanya yang saya tengok paling besar ialah dia menjamin orang orang lain buat pinjaman orang tak bayar pinjaman dia jamin orang manakala ketiga ialah penggunaan kad kredit dia punya sendiri, dia pakai sendiri,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini pada Selasa.
Bagaimanapun kata Nor Hisham trend keberhutangan teruk di kalangan warga Bomba telah menunjukkan penurunan kepada 15 orang ketika ini berbanding 72 orang yang direkodkan pada 2020.
“Bila orang bangkrap ni dia duit tak dak, mood kerja pun down kita risau benda-benda tu lah dia akan merebak kepada yang lain jadi kita nak tak nak kena kekang,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihati pegawai dan anggotanya agar mengetahui had kemampuan mereka termasuk dalam konsep beli dahulu bayar kemudian (BNPL) yang semakin popular kini.
Nor Hisham berkata bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bahawa desakan untuk menunjuk status sosial antara punca ramai kakitangan awam semua peringkat membuat pinjaman kewangan berlebihan sehingga mereka bankrap.
Dalam pada itu, seramai 19 pegawai dan anggota bomba diambil tindakan integriti dalaman dalam tempoh dua tahun ini kerana membuat ulasan atau komen keterlaluan di media sosial.
Katanya, warga bomba seharusnya bersifat terkecuali atau neutral dalam sebarang perkara termasuk politik kepartian disebabkan tertakluk kepada peraturan digariskan.
“Tindakan integriti dalaman yang telah kita keluarkan amaran ada juga hilang kelayakan untuk dipertimbangkan anugera perkhidmatan cemerlang selama enam bulan pingat selama enam bulan ikut pada keseriusan
“Jadi dia ini memang trend dok komen memang kerja komen tak mematuhi prosidur garis panduan yang kita tetapkan jadi yang itu serius sikit kita maksudnya kita beri pendekatan tapi ada yang sesekali terikut kawan komen dia pun nak komen. Komen bukan teruk sangat pun tapi dia seronok tapi tak melambangkan penjawat awam yang itu pun kita bagi surat teguran jadi ada 19 orang total yang kita ambil tindakan,” katanya.
#JBPM #bankrap #Nor Hisham Mohammad #tindakan disiplin
;