JBPM Kelantan cadang perkenal SOP panjat gunung
Vivi Sumanti
Ogos 2, 2018 18:31 MYT
Ogos 2, 2018 18:31 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Kelantan akan mewujudkan prosedur operasi standard, SOP kepada pendaki dan peneroka gua di negeri berkenaan sebagai langkah keselamatan tambahan.
Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, dengan lebih 20 gunung dan beratus gua yang mempunyai tarikan pelancongan dan berpotensi diterokai, SOP yang akan ditetapkan itu bakal menjadi sebahagian dari syarat untuk setiap peserta ekspedisi bagi mengelak kemalangan, jatuh gaung, digigit binatang berbisa atau sesat.
Walaupun jumlah kes sedemikian masih kecil, namun katanya SOP berkenaan akan menjadi jaminan keselamatan tambahan untuk peserta ekspedisi.
"Keselamatan dalam aktiviti pendakian adalah penting. Kalau kita lihat, ramai pendaki yang ghairah untuk sampai ke puncak. Jadi kita sarankan Kementerian Pelancongan memasukan satu dasar dalam eko pelancongan iaitu keselamatan kepada pendaki.
"Kita juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan juga malim gunung” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Intergasi dan Eko Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia Kelantan di sini, baru-baru ini.
Kursus selama tiga hari disertai oleh pengamal media tempatan dan peserta industri dan dihidangkan dengan pelabagai aktiviti lasak termasuk mendaki gunung Stong, “rock climbing”, ab sailing dan via feratta di kawasan Stong Hill Park dan Gua Ikan.
Menurut Nazili lagi, JBPM sedia memberikan khidmat nasihat dalam menetapkan prosedur berkenaan.
"Jaminan keselamatan ini penting sebagai salah satu dasar yang boleh ditawarkan kepada pengunjung terutama pelancong asing yang ingin meneroka keindahan alam di sini" katanya lagi.
Selain itu katanya, JBPM Kelantan juga sudah menubuhkan unit Mencari dan Menyelamat Gunung, MOSA khusus untuk kerja-kerja menyelamat di gunung dan gua.
Untuk rekod lebih 10 kes kemalangan melibatkan aktiviti pendakian dan sesat di hutan dilaporkan berlaku di Kelantan tahun lepas.
#Dabong
#eko pelancongan
#Gua
#Gua Ikan
#gunung
#Gunung Stong
#JBPM
#jelajah gua
#Kelantan
#mendaki gunung
#MOSA