JBPM Johor periksa 182 premis tumpuan sempena Tahun Baharu Cina
Bernama
Januari 15, 2023 04:45 MYT
Januari 15, 2023 04:45 MYT
JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor meningkatkan rondaan dan melakukan pemeriksaan melibatkan 182 premis tumpuan orang ramai termasuk hotel dan pusat beli-belah sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata pemeriksaan itu yang telah bermula awal bulan ini hingga 30 Jan depan, akan turut melibatkan pusat-pusat peranginan, kawasan pantai dan air terjun.
Beliau berkata pemeriksaan yang dilakukan antaranya melibatkan sistem keselamatan dan tahap kesiapsiagaan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).
"Apa yang paling penting semasa pemeriksaan itu juga adalah kita kena pastikan peralatan (sistem dan alat pemadam api) dapat digunakan semasa kecemasan.
"Begitu juga laluan-laluan keluar, kita hendak pastikan laluan itu tidak dihalang kerana ketika kecemasan ia sangat penting dan orang ramai perlu menggunakannya untuk melepaskan diri ke tempat lebih selamat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan dan Ops Tahun Baru Cina 2023 di Aeon Bukit Indah, di sini semalam.
Beliau berkata pihaknya juga akan menempatkan jentera-jentera di kawasan lebuh raya di Sedenak dan Yong Peng untuk tujuan keselamatan pengguna jalan raya.
"Jentera itu bersedia di tempat tersebut dan rondaan berkala juga kita lakukan sekiranya ada kes kemalangan jalan raya kita akan bertindak beri bantuan.
"Selain rondaan di jalan raya, kita juga akan membuat rondaan di rumah-rumah yang ditinggalkan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.
Mohd Rizal berkata 150 orang anggota termasuk Pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Di Zon-Zon, Ketua-Ketua Balai dan penyelia di balai-balai terlibat dalam pemeriksaan itu.
Beliau berkata pihaknya juga pada masa sama giat melaksanakan kempen-kempen keselamatan bagi tujuan kesedaran kebakaran kepada orang awam termasuk menerusi media sosial TikTok.
-- BERNAMA