JBPM disaran rekrut lebih ramai wanita - Zuraida
Bernama
November 24, 2019 04:58 MYT
November 24, 2019 04:58 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) disaran untuk merekrut lebih ramai anggota bomba wanita bagi mengendalikan kes kecemasan membabitkan golongan itu dan kanak-kanak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata wujud keperluan untuk merekrut lebih ramai wanita menganggotai pasukan bomba kerana ada tugas tertentu memerlukan 'orang perempuan', antaranya memberi kaunseling, selain melatih suri rumah berkaitan pencegahan kebakaran.
"Sudah tiba masanya kita menambah anggota bomba wanita kerana keanggotaan wanita dalam pasukan bomba juga adalah sesuai untuk menyantuni mangsa wanita dan kanak-kanak kerana naluri wanita yang lembut dapat meredakan trauma atau tekanan dihadapi mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 50 pasukan bomba komuniti di sini, pada Ahad.
Menurut Zuraida, ketika ini direkodkan hanya 600 anggota bomba wanita di Malaysia daripada keseluruhan 14,500 anggota.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya merancang usaha untuk mengaktifkan pembentukan kadet bomba di sekolah selain skuad di universiti.
"Kita sedar ramai anak muda juga meminati tugasan anggota bomba," katanya.
Sementara itu, beliau menggalakkan pembentukan lebih banyak bomba komuniti di Sabah memandangkan negeri ini memiliki geografi besar dan luas.
"Sudah tentu dengan pembentukan bomba komuniti ini membolehkan mereka ini menjadi responder pertama untuk memberi bantuan kecemasan kepada mangsa.
"Mereka juga menjadi penghubung komunikasi dengan balai terdekat, jadi memang kita perlukan sangat bomba komuniti ini," katanya.
Beliau berkata Sabah merupakan negeri paling banyak memiliki bomba komuniti dengan 380 pasukan.
-- BERNAMA
#bomba
#bomba komuniti
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#kadet bomba
#Kanak-kanak
#kaunseling
#kebakaran
#kecemasan
#kerajaan
#melatih suri rumah
#pencegahan kebakaran
#perempuan
#Sabah
#sekolah
#universiti
#wanita
#Zuraida Kamaruddin