JBPM, AIROD tandatangani kontrak selenggara helikopter bernilai RM52.9 juta
Bernama
Mei 25, 2023 07:45 MYT
Mei 25, 2023 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menandatangani kontrak selama tiga tahun bernilai RM52.9 juta dengan AIROD Sdn Bhd bagi penyelenggaraan empat helikopter milik jabatan berkenaan.
JBPM dalam kenyataannya memaklumkan majlis menandatangani kontrak berkenaan berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) yang berlangsung dari 23 hingga 27 Mei di pulau peranginan itu.
Menurut kenyataan tersebut, kontrak bermula tahun ini hingga 2026 melibatkan bekalan alat ganti helikopter dan kemudahan sewaan fasiliti bagi memastikan keupayaan operasi bagi helikopter model Mi-17-IV/Mi171 berada pada tahap optimum.
"AIROD Sdn Bhd akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berkala, pemeriksaan, pembaikan, dan penambahbaikan untuk memastikan serviceability, availability dan readiness operasi helikopter pada tahap terbaik.
"Kontrak ini juga merangkumi penyediaan sewaan fasiliti hangar dan bangunan yang membolehkan kelangsungan operasi berterusan oleh JBPM," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan di majlis yang sama, JBPM menandatangani tiga Nota Persefahaman (NoU) bagi meningkatkan kecekapannya dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa kemalangan dan bencana melalui udara.
Menurut kenyataan itu NoU tersebut ditandatangani dengan Kementerian Pengangkutan melalui Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Majlis menandatangani NoU berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
"NoU ini merangkumi kerjasama strategik berkaitan Perkhidmatan Helikopter Emergency Medical Air Ambulance Rescue Service (EMARS) yang merupakan perkhidmatan bantuan pengangkutan perubatan melalui udara dan bantuan perubatan dan pemindahan pesakit termasuk komuniti luar bandar serta pengurusan kemalangan jalan raya di lebuh raya utama di Malaysia," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, NoU tersebut juga bertujuan meningkatkan kecekapan agensi terlibat dalam mengendalikan insiden bencana udara dan bidang yang berkaitan selain memperkukuhkan lagi aspek keselamatan awam dan keupayaan tindak balas bencana.
Menurut kenyataan itu, NoU berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan insiden bencana udara malah turut mempercepatkan proses penyiasatan terhadap kemalangan penerbangan, meningkatkan pelaksanaan langkah keselamatan dan pembangunan protokol terkini untuk tindak balas kecemasan dan operasi evakuasi perubatan.
-- BERNAMA