JBG diminta santuni, tawar khidmat pendamping kanak-kanak mangsa jenayah seksual - Azalina

Bernama
September 13, 2024 11:40 MYT
Azalina berkata kerajaan memberi penekanan serius dan komited terhadap isu yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jabatan Bantuan Guaman (JBG) diarahkan untuk menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal-hal penindasan terhadap kanak-kanak kerana golongan itu merupakan generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka ialah tanggungjawab bersama.
"Saya telah menghubungi Pengarah JBG dan mengarahkan JBG untuk menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam insiden jelik ini dengan menawarkan khidmat 'pendamping kanak-kanak' atau legal companion.
"Saya berasa amat dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 rumah amal .... Saya difahamkan siasatan sedang berjalan berkenaan perkara ini," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Azalina berkata kerajaan memberi penekanan serius dan komited terhadap isu yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak.
Beliau berkata kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif termasuk pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak yang telah diluluskan pada sidang Parlimen yang lepas.
"Pindaan itu bertepatan dan kena pada waktunya kerana ia memperuntukkan kecekapan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding selain menghapuskan keperluan keterangan sokongan mandatori," katanya.
Pada Rabu lepas, sebanyak 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak serta agama.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis turut menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur satu hingga 17 tahun yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#JBG #Azalina Othman Said #jenayah seksual #GISB
;