Jawi, tak salah tegakkan Islam tetapi biar dengan cara betul - Nik Raina
T K Letchumy Tamboo
Mac 17, 2015 19:24 MYT
Mac 17, 2015 19:24 MYT
Tidak salah sekiranya hendak menegakkan agama Islam, tetapi biarlah dengan cara yang betul.
Ini nasihat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) oleh pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz, yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 26 Februari daripada pertuduhan menjual dan mengedarkan buku yang bertentangan dengan undang-undang Islam.
Di dalam satu temubual dengan Astro AWANI, Nik Raina berkata sekiranya ada perkara yang ingin diubah selepas apa yang dilaluinya -- ia adalah sikap Jawi.
"Saya berharap boleh mengubah sikap Jawi. Saya rasa mereka harus bekerja dengan lebih beretika. Tidak salah hendak menegakkan agama Islam tetapi biarlah dengan cara yang betul. Sebab matlamat tidak menghalalkan cara," katanya dalam satu temuramah dengan Astro AWANI di sini, hari ini.
"Mereka kena tahu fakta kes sebelum membuat apa-apa. Tidak boleh dengan kuasa yang ada mereka sahaja hendak saman dan denda saya," tambahnya.
Nik Raina berkata demikian apabila merujuk kepada keputusan Jawi untuk memfailkan rayuan pada 9 Mac lalu, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskannya dalam kes penjualan buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta karya Irshad Manji.
Nik Raina berkata sekiranya Jawi berbuat demikian, mereka memberi pandangan yang tidak baik tentang Islam kepada orang luar.
"Nampak macam Islam itu sesuatu yang kejam.Tahu hendak cari salah sahaja. Sedangkan Islam itu sesuatu yang mudah. Saya minta sangat apa-apa yang Jawi hendak buat pada masa hadapan biarlah beretika. Kita hormat keputusan dan nasihat mereka.
"Bila dia nasihat kita terima. Jika mereka datang dengan niat hendak saman dan denda, ia tidak adil kepada saya. Dan tidak adil kepada mereka yang mencari rezeki di sini," katanya.
Nik Raina turut membidas cara notis rayuan itu dihantar kepadanya.
"Selalunya notis surat menyurat akan dihantar ke rumah saya. Kali ini, mereka hantar ke tempat kerja saya semasa saya tiada di situ.
"Saya hairan dan bertanya mengapa mereka menghantar notis itu di dalam satu sampul surat yang tidak digam dan tidak ditulis dengan nama saya. Sesiapa sahaja boleh membuka sampul surat itu dan melihat isi kandungannya. Beginikah cara untuk menghantar notis rayuan?" tanyanya.
Nik Raina berkata setelah tiga tahun mengharungi kes itu dan apabila beliau berasa ia telah muktamad selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, beliau masih tertanya-tanya motif Jawi dengan tindakan rayuannya.
"Adakah mereka suka melihat saya masuk penjara atau didenda? Itukah yang mereka mahu daripada saya?
"Saya cuma bekerja di kedai buku? Besar sangat ke jenayah yang saya buat sehingga mereka buat saya sebegini? Saya mencari rezeki di tempat yang halal. Lainlah jika saya bekerja di tempat yang tidak sepatutnya," katanya sambil menambah Jawi jelas menyalahgunakan kuasa mereka di dalam kesnya.
Nik Raina, 38 ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana ‘menyebar dan mengedar’ dengan kaedah menjual buku itu.
Dia didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012, dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books.
Bagaimanapun, pada 30 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.