KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah selesai menjalankan siasatan berkaitan isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibukota, Setapak yang berlaku baru-baru seperti diarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.


Ringkasan AI
  • Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah selesai menjalankan siasatan berkaitan isu zikir di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.
  • JAWI telah mengambil keterangan pengadu, menemu bual waris serta pelaku yang terlibat, dan memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak.
  • Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan, menasihati masyarakat Islam supaya tidak melakukan amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.


Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan berkata pihaknya telah mengambil keterangan pengadu dan menemu bual waris serta pelaku yang terlibat.

"JAWI juga telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak. Pihak JAWI akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanifuddin turut menasihati masyarakat Islam di negara ini supaya tidak melakukan amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.

Pada 28 Dis, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan sekumpulan individu berzikir secara pelik dan kuat di sebuah tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak di sini hingga mengundang kebimbangan masyarakat khususnya orang Islam.

Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku kira-kira 10.05 pagi 27 Dis.

-- BERNAMA