Jawi perlu tahu beza kuasa pengurus dan Lembaga Pengarah Borders - Ibdil

Wan Syamsul Amly
Mac 16, 2015 13:47 MYT
PEMUDA UMNO: Jawi perlu tahu beza kuasa pengurus dan Lembaga Pengarah Borders - Gambar fail
Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membezakan tahap jawatan serta kuasa yang ada pada pengurus kedai buku, Nik Raina Abdul Aziz dengan Lembaga Pengarah Borders.
Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO, Ibdillah Ishak berkata, tugas Nik Raina disifatkan hanya menjaga buku yang dijual dan terbatas kepada menjaga bahagian operasi syarikat sahaja.
"Jawi perlu tahu membezakan bidang kuasa Nik Raina sebagai Pengurus Kedai tersebut, tugasnya bukan untuk menjaga buku-buku yang dijual, tetapi sebagai pengurus, bidang kuasanya adalah untuk menjaga operasi.
"Adakah ini berlaku kerana JAWI tahu mendakwa pengurus adalah lebih mudah daripada mendakwa pihak Lembaga Pengarah?," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

JAWI sebuah badan dakwah Islam, bkn badan untuk penjarakan umat Islam lain atas kesalahan yg di luar bidang kuasa beliau. Rasional sikit.

— Ibdilillah Ishak (@ibdil) March 15, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ibdillah mengulas tindakan Jawi yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang melepaskan Nik Raina Abdul Aziz.
Nik Raina ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana ‘menyebar dan mengedar’ dengan kaedah menjual buku berjudul "Allah, Liberty and Love" (Allah, Kebebasan dan Cinta) yang kandungannya bertentangan dengan undang-undang Islam.
Dia didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012, dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books.
Bagaimanapun, pada 30 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jawi di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.
Dalam pada itu kata Ibdillah, pendakwaan yang dilakukan juga harus adil bukan sekadar mahu menakutkan pihak lain.
"Jangan buat pendakwaan yang mahu menunjukkan kekuatan mereka. Janganlah kerana mencari jalan mudah, pengurus yang menjadi mangsa atas kesalahan pihak Lembaga Pengarah syarikat.
"Umum ketahui bidang kuasa Jawi hanya ke atas orang Islam maka Jabatan tersebut mengambil keputusan mendakwa pengurus kedai buku tersebut bukannya syarikat Borders sendiri.
"Persoalannya, mengapa Jawi tidak mendakwa salah seorang Muslim dalam Lembaga Pengarah Berjaya Books yang memegang pengurusan francais rangkaian kedai buku Borders ini jika sekalipun mereka mahu mendakwa juga?," tegasnya.
Soal Ibdillah lagi, apakah pihak Jawi juga telah beri notis mencukupi kepada semua kedai buku sungguhpun mengisytiharkan haram lebih awal dari tarikh tangkapan?
"Ini menimbulkan banyak persoalan tentang motif Jawi? Adakah badan ini mahu menegakkan agama Islam atau mewujudkan perasaan benci orang ramai terhadap Islam sendiri?
"Cukuplah Jawi, tidak perlu dipanjangkan lagi. Lebih elok jika Jawi teruskan dakwahnya berpaksikan amalan Wasatiyyah (Kesederhanaan) di dalam setiap tindakan mereka selepas ini," katanya.
#borders #JAWI #Nik Raina #Pemuda UMNO
;