JAWI komited laksana program bimbingan al-Quran, fardu ain kepada OKU
Bernama
November 20, 2023 04:15 MYT
November 20, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pelbagai agensi komited melaksanakan agenda dakwah kepada masyarakat Islam khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi program pengukuhan dan kefahaman Islam serta kebajikan.
JAWI dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, penekanan diberikan terhadap usaha pengislahan masyarakat melalui metodologi dakwah bil lisan dan dakwah bil hal kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut JAWI, program khusus yang dilaksanakan kepada golongan itu sejak 2000 meliputi kategori OKU penglihatan dan pendengaran yang bertujuan memberikan kefahaman ilmu fardu ain, bimbingan asas membaca al-Quran dan pengukuhan institusi keluarga ke arah penghayatan Islam yang syumul.
"Program keagamaan yang dilaksanakan melibatkan peserta dalam kalangan OKU sepanjang 2023 adalah 18 siri Kelas Bimbingan al-Quran Braille Tahap 1, Tahap 2 dan Lanjutan OKU Penglihatan serta 22 siri Kelas Bimbingan Fardu Ain dan al-Quran Braille (Mualaf) OKU Penglihatan.
"Selain itu, 25 siri Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain OKU Pendengaran, 24 siri Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain OKU Pendengaran (Mualaf), satu siri Ziarah Mahabah serta dua siri Program Kefahaman Islam OKU Penglihatan dan Pendengaran (Ihya' Ramadhan dan Ma'al Hijrah)," menurut kenyataan itu.
JAWI turut memaklumkan, untuk tahun ini sahaja, seramai 2,775 peserta telah menghadiri program berkenaan dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM187,490.
Bagi menjayakan program bimbingan kerohanian kepada golongan OKU, JAWI telah bekerjasama dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD).
"JAWI akan menjadikan program dakwah dan kefahaman Islam kepada golongan OKU sebagai satu daripada keutamaan selaras dengan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) yang mengutamakan prinsip ihsan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA