Jawi khazanah negara, penentang agak keterlaluan

Wan Syamsul Amly
Januari 5, 2020 15:24 MYT
Ahli politik dinasihatkan agar tidak menghangatkan isu jawi, sebaliknya beri tumpuan pada mutu pendidikan negara, tegas Anwar Ibrahim.
Semua ahli politik diminta tidak menghangatkan isu jawi, sebaliknya memberi tumpuan pada mutu pendidikan negara.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhatian kini harus diberi kepada usaha tambahan untuk bidang pendidikan serta tanggungjawab kepada semua kaum.
"Mengenai tulisan jawi, saya tidak mahu hangatkan, bagi saya yang telah buat kenyataan, jawi adalah khazanah.
"Kadang-kadang yang menentang agak keterlaluan, kadang-kadang menyentuh perasaan Melayu. Sanskrit kuno, orang masih belajar; latin kuno, tapi banyak ilmu masih ada, sehingga menjadi satu tulisan kebangsaan.
"Tetapi untuk kita mengetahui saya tidak fikir, bahasa Melayu tidak dapat dikuasai tanpa sedikit pengetahuan tentang asalnya khazanah bahasa kebangsaan, bukan khazanah sekadar serpihan sahaja yang diperkenalkan.
"Tidaklah satu bab, dua tiga halaman sekadar kenal, ini semua perjanjian dahulu, jawi tulisan awal sekarang ada sudah dilupakan, untuk anak-anak kita sekadar itu cukup," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Murid Cemerlang UPSR 2016-2019 Sekolah-sekolah Tamil Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pelaksanaan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular hanya boleh dilaksanakan dengan majoriti mudah 51 peratus ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju.
Menurut Nie Ching, pengajaran tulisan jawi di sesebuah sekolah akan dijalankan jika 51 peratus atau lebih borang yang diterima daripada ibu bapa menyatakan persetujuan.
Dalam pada itu Anwar menjelaskan, tidak salah untuk sesiapa memberi pandangan dalam isu berkenaan.
"Sekadar orang hendak bagi pandangan, tidak setuju tidak apalah. Selepas itu hangatkan, bila kita hangatkan kita undang reaksi dan respon seolah ini satu usaha hendak hina atau pertikai sejarah, khazanah dan Melayu.
"Sebab itu saya bagi nasihat, supaya kalau boleh dileraikan, adakan dialog. Jangan tunjuk kekuatan, kalau ada kekuatan, ada tindak balas... dan ini yang berlaku
.
"Kalau hendak bicara, kritik atau cabar dasar kementerian, itu soal masing-masing tapi kita kena meningkatkan mutu pendidikan, kerana bila kita terheret dalam isu ini (jawi) seolah mencuit rasa hina. Ini yang tidak baik," tegas Anwar lagi.
#Ahli Parlimen Port Dickson #Anwar Ibrahim #JAWI #jawi khazanah negara #Presiden PKR #tulisan jawi
;