JAWI Food Bank salur bantuan RM275,000 kepada mangsa banjir di Pahang dan Kelantan

Fareez Azman
Januari 15, 2021 13:09 MYT
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk SeriDr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menampalkan pelekat di kenderaan Misi Bantuan Banjir JAWI Food Bank. - Foto JAWI
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama masjid-masjid di Wilayah Persekutuan serta rakan strategik memperuntukkan sebanyak RM275,000 bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Pahang.
Menurut JAWI dalam kenyataan pada Jumaat, misi bantuan secara berperingkat itu melibatkan penghantaran barangan keperluan asas seperti beras, lampin pakai buang, kain batik dan telekung.
"Misi Bantuan Banjir ke Temerloh Pahang pada 15 Januari 2021(Jumaat) dengan penghantaran bantuan keperluan asas berupa 5,000 kampit beras seberat 25 tan bernilai RM62,500.00.
"Misi Bantuan Banjir ke Kelantan pada 19 Januari 2021 (Selasa) dengan penghantaran bantuan keperluan asas berupa 5,000 kampit beras seberat 25 tan bernilai RM 62,500.00," jelas kenyataan itu.
Kedua siri bantuan itu, adalah susulan Misi Bantuan Kemanusiaan keperluan harian bernilai RM150,000 kepada mangsa banjir di Pekan, Pahang yang telah dilaksanakan pada Isnin lalu melalui Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan kerjasama JAWI Food Bank bersama 19 buah agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
"Keseluruhan nilai bantuan yang terlibat dalam semua misi tersebut adalah berjumlah RM275,000. Misi bantuan ini bertujuan menghulurkan bantuan asas kepada mangsa banjir serta bersolidariti bersama kesukaran dan kepayahan yang dialami mangsa tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
"Ia juga merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat masjid-masjid di Wilayah Persekutuan kepada para penduduk yang terkesan dengan musibah yang melanda," jelas kenyataan itu lagi.
#NGO #Islam #Media #JAWI #mangsa banjir #MAIWP #Pahang #Kelantan #mangsa #bantuan banjir #keperluan harian #banjir pahang
;