Jawi ambil tindakan terhadap penganjur konsert K-Pop B1A4 - KP Jakim

Bernama
Januari 12, 2015 18:38 MYT
Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live menjadi viral - Foto YouTube
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur konsert persembahan artis K-Pop, B1A4, berikutan perbuatan sumbang sewaktu acara hiburan itu berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata perbuatan beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh anggota artis K-Pop, B1A4, pada Sabtu lepas adalah sesuatu yang sangat memalukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di negara ini.
"Gadis Melayu yang terbabit dalam insiden itu dilihat terlalu obses terhadap artis K-Pop berkenaan, perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai sememangnya boleh dijangka apabila penganjur konsert tidak memberi perhatian serius mengenai kesan baik dan buruk acara hiburan itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Perbuatan anggota kumpulan B1A4 mencium gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas KL Live pada Sabtu lepas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, telah menjadi 'viral' (menjadi bahan berita popular) di media sosial.
Video berdurasi lebih tiga minit yang memaparkan adegan cium itu turut dimuat naik di laman Facebook Sukan Star TV yang dirakam pada konsert tersebut.
Perbuatan sumbang itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan menulis dalam akaun Twitternya semalam: "Banyak dikatakan tentang K-Pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tall, dark and handsome. Bukan pale, skinny & pretty. Itu bukan lelaki sejati."
Othman berkata penganjur konsert artis K-Pop B1A4 harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana Jakim pada 2007 telah menerbitkan Garis Panduan Hiburan dalam Islam tetapi adakah garis panduan berkenaan diberi perhatian oleh semua pihak termasuk penganjur konsert dan merujuk kepada Jakim terlebih dahulu.
"Jakim tidak diberitahu mengenai penganjuran konsert ini. Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak, penganjur dan pihak yang meluluskan acara hiburan memberi perhatian serius mengenai kebaikan dan keburukan dalam penganjuran acara.
"Dalam memenuhi tuntutan agama Islam, sebarang acara yang bertentangan dengan moral, akhlak, tatasusila dan budaya Malaysia tidak wajar dibenarkan, tiada istilah kebebasan dan hak peribadi dalam melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak," katanya.
#B1A4 #JAKIM #JAWI #K-pop #Othman Mustapha
;