Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik ditubuhkan - Ismail Sabri

Astro Awani
Disember 2, 2020 19:17 MYT
JSPP mempunyai 10 jawatankuasa kerja bagi merangka pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik (JSPP) bagi mengimbangi kesan kesihatan, keselamatan serta ekonomi rakyat negara ini telah ditubuhkan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata JSPP mempunyai 10 jawatankuasa kerja bagi merangka pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menghadapi ancaman pandemik di negara ini.
"Draf pelan tindakan ini dibentangkan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 30 November lalu.
"Insya-Allah, dokumen ini akan dilancarkan sebagai rujukan atau garis panduan dalam menghadapi krisis atau pandemik yang melanda negara," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Rabu.
Dalam sidang media itu juga, Ismail Sabri memaklumkan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sudah dikuatkuasakan.
Katanya penguatkuasaan dilakukan dengan mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal menyediakan kemudahan perumahan kepada pekerja asing seperti yang ditetapkan di bawah Akta 446.
"Salah satu punca cepatnya virus COVID-19 ini merebak dalam kalangan pekerja asing adalah disebabkan kedudukan rumah atau tempat tinggal mereka yang terlalu sesak.
"Kita dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia, pemeriksaan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara mengenai tempat tinggal pekerja asing ini dan sehingga kini, 21 kertas siasatan sudah dibuka," katanya.
#ismail sabri yaakob #Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik #JSPP #Menteri Kanan Pertahanan #COVID-19 #pandemik
;