Jawatankuasa siasat punca kebocoran paip utama di dasar Sungai Terengganu - MB
Astro Awani
Ogos 14, 2021 12:28 MYT
Ogos 14, 2021 12:28 MYT
Krisis bekalan air yang melanda Terengganu sejak 12 hari lalu, melibatkan 28,700 akaun pengguna, dijangka pulih sepenuhnya hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA NERUS: Jawatankuasa siasatan dibentuk bagi menyiasat punca kebocoran paip utama di dasar Sungai Terengganu yang menyebabkan gangguan bekalan air selama 12 hari membabitkan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jawatankuasa siasatan itu melibatkan pelbagai agensi dan akan diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Katanya, jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan pada Rabu itu akan menjalankan siasatan dan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan supaya kejadian sama tidak berulang.
"Kerajaan negeri juga telah membentuk jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kemungkinan di manakah puncanya.
"Jawatankuasa ini diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan dianggotai pelbagai agensi daripada Jabatan Alam Sekitar, daripada PBT (pihak berkuasa tempatan) sendiri, daripada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan sebagainya.
"Mereka diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan saranan berhubung siasatan mereka ini, kenapa perkara ini berlaku dan apakah cadangan-cadangan yang mereka ingin kemukakan," katanya semalam.
Terdahulu, krisis bekalan air yang bermula pada 2 Ogos lalu menyebabkan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu terjejas apabila paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.
Bagaimanapun, gangguan bekalan air yang melibatkan 28,700 akaun pengguna itu dijangka pulih sepenuhnya hari ini, lebih awal dari jangkaan, kata Ahmad Samsuri.
Menurutnya, masalah tersebut dapat diselesaikan lebih awal susulan kerja-kerja pembaikan paip pecah di dasar sungai berjaya disiapkan awal.
Jelasnya, sebelum ini Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menjangkakan bekalan air mula pulih hari ini (Sabtu) dan pulih sepenuhnya pada Isnin (16 Ogos).
"Namun, Alhamdulillah, hari ini (Jumaat) kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual baki kerja-kerja pembaikan paip pecah Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu," katanya.
#Kuala Terengganu
#terengganu
#ekonomi
#bekalan air
#Ahmad Samsuri Mokhtar
#dasar sungai
#paip pecah
#kerja pembaikan
#Sungai Terengganu
#krisis bekalan air
#SATU