Jawatankuasa Pilihan Khas perlu diberi tumpuan dalam perbahasan Parlimen - Penganalisis

Eton Khir
September 12, 2021 08:46 MYT
KARTINI: Ahli parlimen pembangkang dan kerajaan boleh bekerjasama, di mana pembangkang turut diberi ruang dan peluang yang cukup luas dalam membuat cadangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah antara tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang perlu diberi tumpuan utama untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.
Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, inisiatif tersebut bakal memberi keseimbangan antara kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, dalam memastikan elemen semak dan imbang di Parlimen.
Jelasnya, ia juga antara inisiatif yang terpantas untuk direalisasikan dalam masa terdekat, antara tujuh tawaran tersebut.
"Yang ini, baik dan sesuai dengan maksud, kalau kita mahu memastikan usaha kolektif tersebut boleh dilakukan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
"Maka, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga akan membantu perkara yang keenam dalam Transformasi Parlimen, iaitu MPN.
"Di mana, ahli parlimen pembangkang dan kerajaan bekerjasama, dan pembangkang diberi ruang dan peluang yang cukup luas dalam membuat cadangan," kata Kartini dalam Buletin Khas AWANI pada Sabtu.
Dewan Rakyat dijadual bersidang untuk Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 mulai esok (13 Sept) hingga 12 Okt.
Persidangan selama 17 hari itu merupakan yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mengenai pelaksanaan Undi 18, Kartini berkata, seperti yang dinyatakan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, menerusi rangka persefahaman ia seharusnya juga boleh dilaksanakan segera.
Ini kerana, ia selaras dengan terma transformasi yang memerlukan proses peringkat demi peringkat.
BACA: RUU Anti-Lompat Parti bolehkan reformasi Parlimen berlaku - Penganalisis
Sementara itu, bagi perkara yang melibatkan perundangan, seperti rang undang-undang lompat parti dan perubahan melibatkan Ketua Pembangkang, seperti memberikan saraan serta kemudahan yang setara dengan seorang menteri, ia menurut Kartini, akan melalui proses yang panjang sebelum boleh dijayakan.
"Tentang rang undang-undang lompat parti, saya kira ia mengambil masa, kerana ada perkara yang kita boleh perincikan.
"Rang undang-undang lompat parti ini telah ada kes sebelumnya di Kelantan dan Sabah suatu ketika dulu, tetapi ia ditolak atas alasan tidak mematuhi perlembagaan, kerana ia (dianggap) melanggar kebebasan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
BACA: Undi18: Lima negeri belum pinda perlembagaan - Wan Junaidi
Parlimen | Jawatankuasa Pilihan Khas perlu diutamakan
BACA: Pelaksanaan Undi 18 antara tujuh tawaran Perdana Menteri
Pada masa sama, menurut Kartini, rang undang-undang lompat parti tersebut boleh dilakukan pindaan seandainya penelitian dibuat kepada Perkara 48 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Ia menjelaskan tentang kelayakan Ahli Parlimen yang menurutnya mungkin boleh dimasukkan perkara baharu, iaitu peraturan kepada lompat parti.
Beliau turut menegaskan, kesemua tujuh tawaran tersebut perlu dibahaskan di Parlimen bagi mewujudkan satu keadaan politik yang bukan lagi bersifat konfrontasi dalam kalangan Ahli Parlimen.
Katanya, semua wakil rakyat boleh berusaha membawa tanggungjawab mereka dan memperkasakan kewibawaan serta akta kelolaan Parlimen agar ia dapat direalisaasikan dengan baik.
#tujuh tawaran #Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan #Kartini Aboo Talib #rang undang-undang lompat parti
;