Jawatankuasa Penubuhan Gerakan Jihad Rakyat ditubuhkan

Astro Awani
Februari 5, 2021 14:52 MYT
Jawatankuasa Penubuhan Gerakan Jihad Rakyat diterajui bersama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan (kiri) dan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Pemandu MPM, Prof Datuk Dr Zainal Kling (kanan).
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penubuhan Gerakan Jihad Rakyat ditubuhkan dan digerakkan bersama Majlis Perundingan Melayu (MPM), beberapa institusi serta pertubuhan nasional.
Jawatankuasa Induk bagi gerakan itu diterajui bersama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Pemandu MPM, Prof Datuk Dr Zainal Kling.
Dalam satu kenyataan, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, keanggotaan institusi atau pertubuhan menyertai gerakan ini tidak terhad di kalangan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja.
"Semua institusi kerajaan, NGO, malah di kalangan GLC, PLC dan MNC juga dipelawa sertai gerakan ini," kata kenyataan itu.
Pada masa sama, ia merupakan gerakan nasional dan melibatkan masyarakat di pelbagai etnik, kaum dan agama.
"Maka Jawatankuasa Induk Gerakan ini komited untuk pelawa lain-lain institusi dan pertubuhan mewakili pelbagai komuniti sertai gerakan ini, dengan syarat setiap institusi atau pertubuhan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik, pihak asing atau puak-puak cauvinis yang antinasional," tambah kenyataan itu.
"Sinar Harian adalah kumpulan media rasmi bagi gerakan ini yang akan siarkan, rencanakan, forumkan dan kongsikan segala berita mengenai gerakan ini dengan lain-lain saluran media perdana dan media sosial, untuk dihebahkan kepada rakyat jelata.
"Selain itu, satu platform applikasi digital, menyamai MySejahtera misalnya, bagi membolehkan semua rakyat, dimana saja mereka berurusan dengan mana-mana saluran sekutu kepada Gerakan ini, untuk daftarkan sokongan mereka secara berkala dan berterusan, terhadap Gerakan ini," ujar kenyataan lagi.
Tambahnya, aplikasi digital ini ditadbir-urus oleh sepasukan pakar IT yang mampu melakukan big data analytical, bagi membolehkan kajian impak Gerakan ini dilaksanakan berterusan dan hasil kajian itu dikongsi dengan mereka yang melayari platform ini, secara online dalam real time.
Di samping pembabitan pelbagai institusi dan pertubuhan menyertai gerakan ini, Jawatankuasa Induk akan menubuhkan pelbagai Jawatankuasa Kerja bagi mengagihkan setiap bidang tugas yang berkaitan.
"Sebaik saja Jawatankuasa Induk menggariskan misi, visi, matlamat, terma rujukan dan pelan tindakan, setiap Jawatankuasa Kerja itu hendaklah menyediakan pelan tindakan dan pelbagai aktiviti masing-masing sebagai pengisian kepada pelan tindakannya.
"JKK Hal Ehwal Islam misalnya, memfokus kepada pengisian setiap khutbah Jumaat, di semua masjid di seluruh negara secara berkala, sepanjang tempoh gerakan ini berjalan.
"JKK Pendidikan pula misalnya, memfokus kepada pengisian dalam acara pendidikan di sekolah. Selain, kandungan mata pelajaran, usaha para pendidik sentiasa mengingatkan para murid betapa pentingnya pembinaan budaya human governance sejak di peringkat kanak-kanak, dalam membina perwatakan insan yang rabbani," kata kenyataan itu lagi.
Kepimpinan MPM juga menyarankan Duta Gerakan ini di kalangan personaliti ikonik yang berpengaruh, yang mampu memanfaatkan lagi usaha Gerakan ini.
"Sebagai permulaan, Jawatankuasa ini akan secara rasminya mengutus surat kepada Datuk Nicol Ann David yang baru dinobatkan sebagai Jaguh Sukan Dunia Sepanjang Zaman.
"Beliau mempunyai personaliti yang amat dihormati dan mempunyai ramai pengikut terutama di kalangan netizen," ujar kenyataan.
Dalam pada itu, gerakan ini menyarankan agar tempoh darurat dilanjutkan dan skop atau bidang ancaman yang mewajarkan proklamasi darurat ini diperluaskan, sepertimana disarankan MPM dan terkandung dalam Memorandum Darurat yang diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu.
#Jawatankuasa Penubuhan Gerakan Jihad Rakyat #majlis perundingan melayu #MPM #NGO #politik #media sosial #pendidikan #kerajaan #Yang di-Pertuan Agong #GLC #Kanak-kanak #sekolah #rakyat
;