Jawatankuasa Penaja tidak selesaikan permohonan pendaftaran Pejuang sepenuhnya - JPPM

Firdaus Azil
Oktober 30, 2020 13:44 MYT
Semakan rekod sehingga 29 Oktober mendapati, permohonan Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan Sistem eROSES. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dakwaan Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang Tanah Air tentang pendaftaran parti mereka dilengah-lengahkan, adalah tidak berasas sama sekali, tegas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dalam satu kenyataan hari ini.
JPPM berkata, semakan rekod sehingga 29 Oktober mendapati, permohonan parti berkenaan belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan Sistem eROSES.
Jabatan itu berkata, pihak Jawatankuasa Penaja Parti diingatkan untuk berhubung terus dengan JPPM bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut.
Mereka berkata, Pejuang juga telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem, sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan.
Semalam, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dalam satu kenyataan berkata, sudah tiga bulan tanpa sebarang jawapan bertulis daripada JPPM mengenai pendaftaran parti itu.
Menyifatkan ia sebagai suatu yang tidak munasabah, Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berkata, ia menunjukkan seolah-olah jabatan itu menjadi ‘alat kerajaan’ bermotifkan politik, sehingga boleh menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat.
"Situasi permohonan Pejuang amat berbeza dengan pendaftaran dua buah parti lain antaranya Parti Makkal Sakti Malaysia yang diluluskan dalam tempoh dua minggu, manakala Perikatan Nasional diluluskan dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan.
“Pihak Jawatankuasa Penaja Pejuang sekali lagi ingin Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Mohd Hamzah Zainuddin) dan Ketua Pengarah JPPM (Masyati Abang Ibrahim) membuat keputusan segera dan jelas agar pendaftaran Pejuang diluluskan mengikut prinsip undang-undang,” katanya lagi.
BACA: Tiga bulan berlalu, status pendaftaran Pejuang jadi tanda tanya
Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, JPPM berkata, Jawatankuasa Penaja Parti sendiri mengakui beberapa kali mengadakan perbincangan bersama pihak JPPM bagi tujuan semakan dan mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut.
JPPM berkata, semakan terperinci hendaklah dilakukan pada setiap permohonan yang dikemukakan termasuk dokumentasi terutamanya perlembagaan yang merupakan rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar.
#Parti Pejuang Tanah Air #Pejuang #pendaftaran #tidak berdaftar #ros #Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia #JPPM #Parlimen #politik #Hamzah Zainuddin #kerajaan #undang-undang
;